
TABIKA PERPADUAN LUAR BANDAR TERUS BEROPERASI
AYER KEROH 2 Disember – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka berusaha memastikan semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan beroperasi, termasuk di kawasan luar bandar.
Pengarah JPNIN Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff berkata, biarpun terdapat beberapa Tabika Perpaduan di luar bandar yang dikelaskan sebagai kurang murid, ia masih beroperasi dengan baik.
“Kita telah menjalankan proses saringan dan temu duga bagi ibu bapa yang mendaftar anak masing-masing, terutama untuk Taska Perpaduan yang menerima permintaan tinggi.
“Walaupun di beberapa kawasan luar bandar bilangan murid kurang daripada 15 orang, kami tidak menutup premis tersebut sebaliknya melakukan penambahbaikan untuk menarik lebih ramai murid,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, pada Khamis.
Menurutnya kekurangan jumlah murid di Tabika Perpaduan luar bandar berikutan kawasan itu kini didiami ramai warga emas dan anak-anak yang telah berhijrah ke bandar.
“Tabika Perpaduan masih relevan, JPNIN akan melaksanakan usaha lebih proaktif untuk menarik penyertaan anak-anak dari kampung berdekatan dan taman perumahan.
“Fokus kami adalah memastikan manfaat diberikan kerajaan melalui Tabika Perpaduan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat kerana ini adalah inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


