Sorting by

×

ECO CRUISE TASIK CHINCHIN SEMAKIN MENARIK

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Disember – Pelayaran di Tasik Chinchin menerusi Eco Cruise Tasik Chinchin akan bertambah menarik apabila Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) sedang melakukan penambahbaikan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, penambahbaikan itu adalah dengan memanjangkan tempoh masa pelayaran sehingga 45 minit berbanding 30 minit sebelum ini.

Selain itu, katanya, tambahan laluan baharu sehingga satu kilometer (km) juga akan diperkenalkan, di mana ia bakal menawarkan pemandangan flora dan fauna yang lebih menarik kepada pengunjung.

“Perjalanan tambahan ini bukan sekadar melalui tasik sahaja tetapi kita juga beri nilai tambah apabila pengunjung dapat melihat kawasan tumbuhan unik seperti periuk kera dan habitat semula jadi beberapa spesies monyet unik di Tasik Chinchin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, ketika ini pihaknya menyediakan dua bot yang berkapasiti 40 penumpang dalam satu-satu masa.

Tambahnya, penambahbaikan jeti di kawasan tersebut turut dirancang pada masa akan datang dan setakat ini sebuah jeti disediakan di Tasik Chinchin.

“Kita merancang untuk menaik taraf jeti dengan kemudahan baharu termasuk kabin dan kaunter pembelian tiket demi memastikan pengunjung selesa.

“Selain itu, sebanyak empat pedal bot serta dua kayak akan diletakkan bagi memberi pilihan rekreasi lain kepada pengunjung.

“Kita dapati sehingga kini sambutan positif diterima sejak Eco Cruise Tasik Chinchin dibuka kepada pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post LEBIH 300 ‘BIKERS’ MERIAHKAN ULANG TAHUN KE-11 MALACCA LADY BIKERZ