Sorting by

×

KEMBALI SELEPAS SEDEKAD, CMIEA 2025 IKTIRAF SYARIKAT CEMERLANG MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 3 Disember – Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri atau Chief Minister Industrial Excellence Award (CMIEA) 2025 kembali semula selepas 10 tahun sebagai usaha mengiktiraf kecemerlangan syarikat industri di Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, penganjuran semula anugerah itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pembangunan dan perkembangan industri.

Menurutnya, CMIEA 2025 menerima penyertaan 12 syarikat pada tahun ini dan daripada jumlah itu tujuh syarikat telah dipilih menerima anugerah dalam lima kategori utama yang dipertandingkan berdasarkan pencapaian cemerlang masing-masing.

“Anugerah ini sangat bermakna kerana ia memberi penghargaan kepada syarikat-syarikat industri yang terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kami berharap penyertaan akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Malam Gala CMIEA 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

CMIEA 2025 menyaksikan Medivest Sdn Bhd dan CSC Steel Sdn Bhd menggondol Anugerah Ketua Menteri apabila masing-masing dianugerahkan sebagai Syarikat Tempatan Terbaik dan Syarikat Multinasional Terbaik.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan kedua-dua syarikat membawa pulang trofi eksklusif dan hadiah kemenangan bernilai RM10,000.

Tidak hanya itu, Medivest Sdn Bhd turut meraih tempat pertama Service Sector Excellence Award, manakala CSC Steel Sdn Bhd pula memenangi Open Category Excellence Award, untuk membawa pulang RM8,000 berserta trofi.

Bagi Manufacturing Sector Excellence Award pula, Master Tec Wire & Cable Sdn Bhd diumumkan sebagai pemenang tempat pertama, manakala Most Promising Excellence Award diberikan kepada Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), yang masing-masing turut membawa pulang RM8,000 berserta trofi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

372
Kongsi :
Previous post PELABUR AKUI MELAKA DESTINASI TEPAT KEMBANG PERNIAGAAN – KM