
CMIEA 2025: INOVASI, KECEMERLANGAN OPERASI MEDIVEST DIIKTIRAF
BANDA HILIR 3 Disember – Medivest Sdn Bhd terus membuktikan keupayaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan apabila merangkul dua anugerah pada Chief Minister’s Industrial Excellence Award (CMIEA) 2025.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ts. Abdullah Hashim berkata, syarikat itu menerima Service Sector Excellence Award serta pengiktirafan tertinggi bagi kategori syarikat tempatan iaitu Chief Minister’s Industrial Excellence Award for Local Company.
Menurutnya, kedua-dua anugerah itu mencerminkan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap usaha Medivest dalam menerapkan inovasi dan teknologi tinggi dalam perkhidmatan yang ditawarkan.
“Ini amat bermakna bagi seluruh warga Medivest kerana ia menunjukkan usaha kami dalam inovasi serta kecemerlangan operasi diiktiraf.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan penganjur CMIEA atas pengiktirafan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, semalam.
Beliau berkata, antara pencapaian utama syarikatnya tahun ini ialah pelancaran insinerator berteknologi tinggi di Bukit Rambai yang meningkatkan kecekapan pengurusan sisa perubatan negeri.
“Selain itu, Medivest turut melaksanakan pelbagai penambahbaikan teknologi dan prestasi operasi di 23 hospital kerajaan di bawah kontrak kami meliputi Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana buat julung kalinya memberikan pengiktirafan kepada Medivest, kami harap usaha syarikat ini terus diiktiraf pada masa akan datang,” katanya.
Untuk rekod Medivest Sdn Bhd membawa pulang wang tunai RM8,000 bagi Service Sector Excellence Award dan RM10,000 bagi Chief Minister’s Industrial Excellence Award for Local Company.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


