
PUSAT SEHENTI KEUSAHAWANAN MELAKA, WUJUDKAN EKOSISTEM PERNIAGAAN LEBIH TERSUSUN
BANDARAYA MELAKA 3 Disember – Pusat Sehenti Usahawan Negeri Melaka di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Hang Tuah, amat membantu dalam memudahkan urusan mereka yang baharu memulakan perniagaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pusat itu menghimpunkan 10 agensi berkaitan bermula daripada pendaftaran syarikat melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga urusan melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurutnya selain pendaftaran, usahawan juga berpeluang mengakses kemudahan pembiayaan melalui pelbagai agensi pemberi pinjaman bagi membantu mereka memperoleh modal awal perniagaan.
“Melaka menyediakan sebuah pusat sehenti bagi memudahkan rakyat yang berminat berkecimpung dalam bidang keusahawanan memulakan perniagaan, mendapatkan khidmat nasihat dan memperoleh modal,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas merasmikan pusat berkenaan di UTC, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Ab Rauf berkata, inisiatif julung kali diwujudkan itu menandakan era baharu keusahawanan Melaka yang akan membuka dimensi lebih luas dalam ekosistem keusahawanan tempatan.
“Pusat sehenti ini turut dilengkapi ruang latihan digital, studio kreatif dan makmal inovasi yang disediakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi membolehkan usahawan memanfaatkan teknologi terkini untuk meneroka pasaran tempatan, nasional seterusnya antarabangsa.
“Melalui pendekatan itu usahawan tidak lagi perlu berulang-alik atau melalui proses panjang kerana semuanya kini berada dalam satu ekosistem lebih tersusun, terurus dan mesra usahawan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

