Sorting by

×

MELAKA PELBAGAIKAN INISIATIF PERKASA EKONOMI USAHAWAN TEMPATAN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 Disember – Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM1.2 juta bagi melaksanakan lebih 15 program strategik bertujuan untuk memperkasakan usahawan di negeri ini setakat 30 November 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu termasuk sesi latihan, pembiayaan, bimbingan teknikal serta pendigitalan bagi memperkukuh kedudukan usahawan selain membuka peluang kepada mereka menerokai ekonomi moden.

“Sebagai maklumkan daripada sebanyak 1.2 juta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia, 3.5 peratus merupakan PMKS Negeri Melaka.

“Ini menunjukkan negeri kecil ini mempunyai tenaga keusahawanan yang luar biasa serta menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara.

“Angka ini menunjukkan bahawa usahawan merupakan pemacu utama yang memastikan ekonomi negeri terus dinamik dan berdaya tahan.

“Tiada pembangunan ekonomi yang kukuh tanpa usahawan yang kuat, berdaya saing dan berfikiran ke hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Sehenti Usahawan Negeri Melaka di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Hang Tuah, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Katanya, walaupun terdapat 351,008 perniagaan berdaftar di Melaka hanya 63,119 sahaja yang aktif, menandakan masih ramai usahawan berdepan cabaran untuk bertahan dan berkembang pada skala lebih kompetitif.

“Justeru kita perlu memastikan usahawan tempatan ini terus aktif dan mampu memperluaskan perniagaan mereka sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

324
Kongsi :
Previous post PUSAT SEHENTI KEUSAHAWANAN MELAKA, WUJUDKAN EKOSISTEM PERNIAGAAN LEBIH TERSUSUN
Next post BAJET NEGERI MELAKA 2026 BERFOKUSKAN RAKYAT, BERPANDU PORTFOLIO EXCO