Sorting by

×

UTEM MAHU JADI JUARA DUNIA TVET

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

DURIAN TUNGGAL 4 Disember – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang merupakan universiti awam terbaik Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam negara bertekad mahu menjadi juara dunia TVET.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM telah bersedia untuk beraksi cemerlang di pentas antarabangsa apabila menyingkap kepada rangkaian kejayaan cemerlang dalam pelbagai elemen yang telah dikecapi sebelum ini.

Jelasnya, pelbagai pencapaian dikecapi dan sumbangan diberikan UTeM dalam aspek TVET secara menyeluruh yang menyentuh dari sudut akademik, penyelidikan inovasi, komuniti, industri dan agensi di peringkat negeri, nasional dan global.

Katanya, tanggal 1 Disember 2025 menjadi detik keramat yang mengukir sejarah buat universiti awam terbaik TVET di negara ini yang telah mencapai usia 25 tahun penubuhannya.

“Tempoh 25 tahun ini turut mewarnai pengisian prestij dan kecemerlangan seiringan dengan aspirasi negara kita memiliki sebuah universiti teknikal awam yang terus unggul menjana graduan teknikal dan TVET bagi bersama memajukan negara bangsa.

“Pada masa yang sama turut menzahirkan keteguhan dan keberhasilan impak rantaian strategik antara universiti alumni, rakan industri, komuniti serta pihak kerajaan yang telah bersama dengan UTeM selama ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Perak sempena Sambutan Jubli Perak UTeM, baru-baru ini.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam merangkap Canselor UTeM bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman mewakili Ketua Menteri Melaka; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Pro Canselor UTeM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Dato’ Husaini Omar.

Terdahulu, sempena majlis sama turut diadakan pelancaran Buku Terbitan Khas 25 Tahun UTeM serta penyampaian Anugerah Ikon Alumni dan Anugerah Khas Tun Canselor.

Sempena Sambutan Jubli Perak UTeM itu, Prof. Massila turut menyampaikan penghargaan kepada buat seluruh pensyarah, penyelidik, pentadbir, juruteknik dan staf sokongan yang terus komited membangun serta menyerlahkan UTeM di mata dunia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post MELAKA JOHAN BOLA TAMPAR SUKAN GURU PENDIDIKAN ISLAM 2025