Sorting by

×

USAHAWAN MELAKA SEMAKIN BERANI, LEBIH 20 PRODUK TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KLEBANG 4 Disember – Lebih 20 produk Melaka kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha berterusan untuk memperkasakan usahawan tempatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, keluaran usahawan Melaka berkenaan melibatkan produk seperti makanan, farmaseutikal dan elektronik yang kini dipasarkan ke China, United Kingdom, Jepun, Taiwan, Thailand, Indonesia, Dubai dan Arab Saudi.

Katanya, setiap dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri berpaksi kepada matlamat untuk mencipta lebih ramai usahawan berkualiti yang mampu menghasilkan nilai baharu kepada negeri dan rakyat.

“Setakat November 2025 Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM1.2 juta bagi melaksanakan lebih 15 program strategik keusahawanan. Semua ini adalah antara langkah untuk melahirkan usahawan berdaya saing dan berupaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Peruntukan itu merangkumi pelbagai inisiatif termasuk latihan keusahawanan, akses pembiayaan, bimbingan teknikal dan pendigitalan perniagaan, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri menjadikan keusahawanan sebagai salah satu teras pembangunan negeri,” kata Ketua Menteri ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Negeri Melaka (AUNM) 2025 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan Timbalannya, Datuk Tuminah Kadi @ Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.

Pada majlis tersebut seramai 124 usahawan Negeri Melaka diraikan dengan pelbagai kategori anugerah yang disampaikan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pelbagai inisiatif digerakkan bagi memastikan usahawan Melaka terus berkembang dan berani meneroka pasaran serantau dan global, sekali gus mengangkat negeri ini sebagai jenama yang disegani di arena antarabangsa.

“Sejumlah RM160,000 turut diperuntukkan khusus bagi penganjuran Anugerah Usahawan Negeri Melaka sebagai pengiktirafan dan suntikan semangat kepada para usahawan cemerlang.

“Melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), usahawan tempatan turut diberikan laluan ke pentas global melalui penyertaan dalam pelbagai pameran berprestij seperti Usahawan Kecil Sederhana (SME) Venture, Melaka Showcase, Melaka International Halal Festival, World Expo di Osaka serta MIHAS di Shanghai, China.

“Kerajaan Negeri turut memperkukuh ekosistem keusahawanan dengan pelancaran Pusat Sehenti Usahawan di UTC Melaka yang menghimpunkan lebih 10 agensi di bawah satu bumbung bagi memudahkan urusan usahawan dari peringkat mikro hingga industri berskala besar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

458
Kongsi :
Previous post SUKAN SEA: ELRICK MAHU HARUMKAN NAMA MELAKA, NEGARA
Next post PMKS NEGERI JADI PEMANGKIN PERTUMBUHAN EKONOMI MELAKA