
LENGKAPKAN BAKAL GRADUAN TVET DENGAN ILMU HARUNGI CABARAN INDUSTRI
JASIN 4 Disember – Perkongsian maklumat berhubung perjalanan kerjaya, menjadi panduan berguna buat peserta kursus bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi.
Wakil MyNext Campus Ambassador, IKM Jasin Amir Faizuddin Jamaluddin berkata, maklumat berguna itu dikongsi sepanjang berlangsungnya Program Kerjaya ‘Destinasi Kerjaya: Langkah Pertama ke Dunia Sebenar’ anjuran IKM Jasin, khusus untuk pelajar semester akhir.
“Program sehari ini menjadi platform untuk memperkukuhkan lagi persediaan pelajar TVET sebelum memasuki dunia pekerjaan sebenar. Alhamdulillah kami berjaya menarik penyertaan pelajar pelbagai bidang kemahiran dan menerima maklum balas positif atas pendekatan interaktif serta kandungan yang disampaikan.
“Menerusi penganjuran program sebegini, IKM Jasin terus komited memastikan graduan TVET bersedia menghadapi cabaran industri sambil meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran pekerjaan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya program sama juga dijayakan hasil kerjasama wakil MyNext Campus Ambassador IKM Jasin, Nur Fadhilah Faqihah Abd Karim dan pelbagai perkongsian termasuk sesi ceramah disampaikan Ketua Bahagian Pembangunan dan Modal Insan dan pembangunan Agensi Pekerjaan Pansomal Sdn. Bhd. (TalentTac), Fuad Akmal Mohamad Zahir.
“Sepanjang sesi perkongsian, pelajar diberi pendedahan tentang realiti pasaran kerja masa kini, strategi meningkatkan kebolehpasaran, serta kemahiran asas yang perlu dikuasai sebelum melangkah ke industri.
“Turut ditekankan adalah kepentingan sikap profesional, penjenamaan diri serta persediaan menghadapi sesi temuduga dalam memastikan graduan TVET mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

