Sorting by

×

STATUS OKU INSPIRASI MOHD NORAFI BERGELAR USAHAWAN BERJAYA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KLEBANG 4 Disember – Perjalanan kehidupan lelaki ini tidak mudah kerana melalui beberapa siri ujian berat, namun dia tetap tabah menerima takdir yang tertulis.

Meskipun menghadapi cabaran fizikal, Mohd Norafi Moksin, 37, membuktikan bahawa kecekalannya menembusi segala halangan apabila beliau meraih tempat ketiga bagi kategori Usahawan OKU (orang kurang upaya) pada Majlis Anugerah Usahawan Negeri Melaka (AUNM) 2025.

Berkongsi kisahnya pemilik MaiFarm Fresh Mart KSB, ini berkata, dia memulakan perniagaan dengan menjual susu segar pada 2020 bersama kakaknya sebelum mempelbagaikan lagi produk seperti sambal bilis, aiskrim berasaskan susu dan mengusahakan ternakan ikan keli.

“Dugaan saya bermula selepas terlibat kemalangan pada 2010 apabila mengalami ‘break up access injury’ mengakibatkan bahagian kanan badan lumpuh. Saya beruntung kerana keluarga tidak putus memberikan dorongan dan semangat, mereka menjadikan diri ini kuat.

“Pada masa yang sama saya menjadikan kekurangan diri sebagai kekuatan untuk terus maju. Pemikiran negatif, tidak mungkin boleh maju akibat kekurangan diri hanya akan melemahkan dan menghalang kita daripada menggapai kejayaan.

“Sokongan keluarga sangat bermakna, khususnya kakak dan adik, mereka adalah tulang belakang utama dalam operasi kedai diusahakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas majlis penganugerahan berkenaan di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.

Lelaki berasal dari Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah ini berkata, berkerusi roda tidak menjadikan dia kekok untuk menguruskan perniagaan, malah atas semangat mahu berdikari dia kini mampu memandu kereta seorang diri.

Seperti usahawan lain Mohd Norafi turut merangka pelan perniagaan untuk terus maju dan kemahuan mahu bergelar usahawan berjaya mendorongnya memasarkan produk ditawarkan menggunakan mesin layan diri (vending machine) di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Kuala Sungai Baru.

“Perancangan seterusnya adalah mengembangkan pasaran produk sambal bilis agar lebih ramai pelanggan dapat menikmatinya, termasuk jualan menerusi platform digital,” katanya.

Anak keempat dari enam beradik itu berkongsi bahawa kejayaan di AUNM 2025 adalah di luar jangkaan.

“Pada awalnya saya datang hanya untuk meraikan majlis, tetapi mendapat tempat ketiga. Alhamdulillah, ini rezeki dan motivasi untuk terus berusaha,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post SISTEM RADAR MBMB BANTU PANTAU KEPATUHAN HAD LAJU
Next post MELAKA JOHAN BOLA TAMPAR SUKAN GURU PENDIDIKAN ISLAM 2025