
JKM LAKSANA PROSES PEMUTIHAN, PASTIKAN BANTUAN SAMPAI KEPADA YANG BENAR-BENAR LAYAK – EXCO
AYER KEROH 4 Disember – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka sedang menjalankan proses pemutihan dan kajian semula senarai penerima bantuan JKM Negeri Melaka yang melibatkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, proses pemutihan penting kerana mengikut rekod ada warga emas yang layak tetapi tidak tersenarai sebaai penerima bantuan daripada JKM.
“Kajian semula ini membolehkan kita mengenal pasti penerima sebenar JKM, ada yang dikeluarkan daripada senarai tetapi sedikit sahaja, jumlah mereka yang memerlukan bantuan masih ramai.
“Walau bagaimanapun, alhamdulillah tahun ini bantuan JKM dinaikkan daripada RM250 kepada RM600 bagi penerima yang telah mencapai status warga emas di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Karnival Kebajikan: Melaka Prihatin, Rakyat Disantuni sempena Sambutan Hari Warga Emas, Hari OKU & Hari Kanak-Kanak serta Perasmian JKM Negeri Melaka yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Kalsom berharap langkah pemutihan dan kajian semula akan menjadikan agihan bantuan lebih menyeluruh serta sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Ini sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kebajikan negeri serta menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menjaga kesejahteraan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


