Sorting by

×

RXZ MEMBERS BAWA LIMPAHAN EKONOMI KETARA UNTUK PELANCONGAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 14 Disember – Penganjuran RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025 memberi limpahan ekonomi ketara kepada negeri sepanjang dua hari penganjurannya, kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata, dengan kehadiran lebih 70,000 pengunjung pada acara terbabit, ia secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan ketara aktiviti perniagaan tempatan.

Katanya, impak acara permotoran berskala besar itu bukan sahaja memberi manfaat kepada peniaga kecil dan penjaja, malah tempiasnya turut dirasai pengusaha inap desa serta hotel yang merekodkan kadar penginapan hampir penuh.

“Sepanjang dua hari penganjuran acara ini Melaka penuh, sambutan memang luar biasa.

“Selain sektor penginapan, peniaga makanan, warung tempatan dan usahawan kecil turut menikmati peningkatan jualan hasil kehadiran pengunjung yang berbelanja di sekitar kawasan penganjuran dan pusat tumpuan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas turut menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri bagi penganjuran acara berskala lebih besar pada tahun hadapan.

“RXZ Members Ride Edition ini akan diteruskan pada tahun hadapan dengan skala lebih besar dan meluas. Kita menjangkakan ia bakal memberi impak positif kepada pemain sektor pelancongan dan peniaga, sekali gus memberi impak ekonomi lebih menyeluruh kepada rakyat Melaka amnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

872
Kongsi :
Previous post MELAKA RANCANG EDISI KHAS RXZ MEGA 2026
Next post KONVENSYEN PENDIDIKAN MELAKA BERI PELUANG PELAJAR BERSUARA