Sorting by

×

ASNAF MAIM BERSYUKUR ADA CAHAYA SAMBUT RAMADAN, SYAWAL

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

TELOK MAS 4 Februari – Hanya rasa syukur dapat dipanjatkan golongan asnaf dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas apabila nasib mereka sentiasa mendapat perhatian Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) setiap kali tiba Ramadan.

Ia selepas mereka menerima sumbangan berupa wang tunai pada Majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal (Zakat Fitrah & Fidyah) Kepada Asnaf Fakir Serta Fakir Miskin Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Tahun 2026/1447H Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Dewan Komuniti KEMAS Telok Mas, di sini, semalam.

Warga emas, Timah Jantan, 73, berterima kasih di atas keprihatinan MAIM dan Kerajaan Negeri di atas bantuan tersebut yang disifatkan sangat membantu dalam meringankan beban perbelanjaan keluarganya.

Timah yang menetap di Taman Bukit Larang Indah berkata sumbangan berkenaan sedikit sebanyak membantu menampung keperluan harian sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri kelak.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan yang diberikan yang mana bantuan ini amat bermakna bagi kami yang sudah berusia dan golongan tidak berkemampuan,” katanya.

Whatsapp image 2026 02 03 at 17.29.35
SAMIDAH

Sementara itu, Samidah Said, 63, dari Permatang Pasir turut menzahirkan rasa terharu kerana masih ada pihak yang mengambil berat kebajikan golongan memerlukan.

“Sekurang-kurangnya bantuan diterima ini dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga untuk persiapan Ramadan dan Syawal nanti,” ujarnya.

Nada sama disuarakan Zakaria Mohamad, 55, yang menzahirkan rasa syukur tidak terhingga, selain menyifatkan sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya golongan memerlukan.

“Saya menanggung tiga orang di rumah dengan bantuan ini dapatlah dibuat perbelanjaan beli barang dapur untuk puasa nanti.

“Sumbangan menjelang Aidilfitri turut diberikan, dapatlah kami membeli persiapan menjelang raya lebih awal nanti, Alhamdulillah, terima kasih,” katanya.

Whatsapp image 2026 02 03 at 17.30.02
ZAKARIA

Terdahulu, seramai 476 asnaf fakir dan miskin di dalam DUN Telok Mas telah menerima sumbangan itu yang disampaikan sendiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut bersama, Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad; Pegawai Agihan Zakat Daerah Melaka Tengah Nadirah Ismail serta kenamaan lain.

Bantuan Ramadan menyaksikan asnaf fakir bakal menerima RM400 bagi setiap ketua isi rumah, manakala asnaf miskin menerima RM300 setiap ketua isi rumah dan setiap tanggungan turut menerima RM100, membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM382,000.

Manakala, bagi Bantuan Syawal pula, setiap asnaf menerima RM150 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM71,400.

Selain itu, kesemua asnaf turut menerima tambahan RM150 yang merupakan wang Fidyah yang hanya boleh digunakan untuk membeli makanan sahaja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

268
Kongsi :
Previous post HIASAN KETUPAT, BUNGA MALAI SERLAH SEMANGAT PERPADUAN TAHUN BAHARU CINA DI MELAKA
Next post HEBAT SIRI 1/2026 SELESAI 271 ADUAN RAKYAT MELAKA