
HEBAT SIRI 1/2026 SELESAI 271 ADUAN RAKYAT MELAKA
SERI NEGERI 4 Februari – Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bertemu Rakyat (HEBAT) siri pertama tahun 2026 berjaya menyelesaikan sebanyak 271 aduan rakyat Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sepanjang enam jam program santunan rakyat itu berlangsung lebih 470 pengunjung direkodkan datang ke Kompleks Seri Negeri bagi bertemu pemimpin negeri dengan tujuan untuk menyalurkan aduan, pandangan mahupun permohonan.
“Alhamdulillah, daripada lebih 470 rakyat Melaka yang datang ke program ini, 271 aduan telah berjaya diselesaikan manakala selebihnya masih dalam perhatian dan akan dipantau.
“Ini keraja ada yang datang bukan untuk hanya untuk menyalurkan aduan, tetapi ada juga yang dalam bentuk masalah bersifat peribadi, selain terdapat juga yang memberikan cadangan dan pandangan.
“Apapun, saya berterima kasih kepada semua yang hadir, di mana kita amat menghargai segala pandangan, cadangan dan luahan rakyat yang dapat menambah baik pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni dan mendengar aduan rakyat pada HEBAT Siri 1/2026 di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Menurut Ab Rauf, pada tahun ini, HEBAT akan diadakan setiap 45 hari, di mana ia akan diadakan pada hari biasa dan lokasinya kekal di Kompleks Seri Negeri.
Jelas beliau, selain Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang menjelajah ke 28 Dewan Undangan Negeri dengan pemimpin turun kepada rakyat, HEBAT pula membuka peluang untuk rakyat datang ke pusat pentadbiran Kerajaan Negeri.
“Sejujurnya, Kerajaan Negeri mahu memulangkan semula kaedah pentadbiran ini kepada rakyat, di mana, di bawah pentadbiran saya, cara kita bekerja adalah dengan menyantuni rakyat bersama semua agensi di bawah portfolio Exco.
“Ini secara tidak langsung membantu kaedah pentadbiran yang baik untuk masa depan demi rakyat Melaka,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


