Sorting by

×

YB HELMY AKUI RAMAI MOHON PINDAH DUYONG

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 4 Februari – Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengakui menerima banyak permintaan daripada orang ramai untuk berpindah ke Duyong.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, permintaan itu bukan sekadar gurauan di media sosial semata-mata, bahkan ada juga yang sanggup datang ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar alamat di Duyong.

Katanya, peningkatan permohonan itu juga dapat dilihat menerusi penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Duyong yang berlangsung Julai tahun lalu, di mana, sebanyak 50 permohonan pertukaran alamat ke Duyong telah diterima.

“Permohonan ini bermaksud, sebelum ini mereka memang penduduk Duyong, namun alamat mengundi mereka di tempat lain.

“Saya tahu memang ramai (mahu menukar alamat) tapi angka sebenar saya tidak pasti. Namun pertukaran alamat ini bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya mereka perlu mengikut prosedur ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bertemu Rakyat (HEBAT) Siri 1/2026 di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, pada program itu, seorang wanita berbangsa cina sanggup menunggu dari awal pagi untuk bertemu Mohd Noor Helmy dan menyatakan hasrat untuk berpindah dan menukar alamat ke Duyong selepas melihat cara kerja Adun Duyong itu yang sering mendapat pujian warga maya.

Mengulas mengenai pujian yang diterima itu, Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri enggan mendabik dada dan pada masa sama tidak menganggap dirinya sebagai satu-satunya wakil rakyat bekerja di negeri ini.

Sebaliknya, beliau berkata, kesemua Adun di Melaka telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik dengan pendekatan berbeza.

“Mungkin pendedahan saya di media sosial sedikit kehadapan, tetapi sahabat-sahabat saya (wakil rakyat lain) juga telah melaksanakan amanah dengan baik demi rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

321
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKASA ‘RAKYAT DIGITAL’ DI KAWASAN LUAR BANDAR
Next post HEBAT TONJOL KOMITMEN TINGGI PBT MELAKA SELESAI ISU RAKYAT