
HEBAT TONJOL KOMITMEN TINGGI PBT MELAKA SELESAI ISU RAKYAT
SERI NEGERI 5 Februari – Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bertemu Rakyat (HEBAT) antara bukti komitmen pelbagai agensi dan jabatan, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Melaka dalam menyelesaikan segala isu rakyat secara tuntas dan berkesan.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, menerusi penganjuran HEBAT edisi pertama 2026, pihaknya telah menerima pelbagai aduan tertakluk di bawah kuasa PBT untuk diselesaikan.
Jelas beliau, ia termasuklah membabitkan isu kawasan taman perumahan dan fasiliti yang perlu dinaik taraf, selain permohonan pembinaan rumah ibadat bukan Islam.
“Malah, ada juga yang datang untuk memohon penyelarasan bayaran membabitkan cukai taksiran tertunggak dan pelbagai lagi masalah kejiranan.
“Semua ini kita santuni sebaiknya dan ada juga telah diselesaikan secara terus oleh PBT berkaitan.
“Secara tidak langsung, ini menunjukkan komitmen tinggi PBT dan semua agensi kerajaan untuk membantu menyelesaikan segala masalah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program HEBAT Siri 1/2026 di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Menurut Zulkiflee, selain masalah taman perumahan dan perkara membabitkan PBT, pihaknya juga turut menerima aduan berkaitan sungai dan saliran yang tertakluk di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang juga di bawah portfolio beliau.
“Antara isu yang dibawa adalah mengenai pembersihan dan penyelenggaraan sungai dan saliran secara berkala dan perkara ini juga turut kita selesaikan demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Tahniah kepada Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana menganjurkan HEBAT yang memang sangat membantu menyantuni segala masalah dan denyut nadi rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

