
2026 TAHUN PERKASA KAMPUNG DIGITAL MELAKA
SERI NEGERI 17 Februari – Inisiatif Kampung Digital Melaka bakal terus diperkasakan tahun ini bagi memastikan pelaksanaannya membawa impak menyeluruh bukan sahaja untuk kampung-kampung tradisional bahkan juga Negeri Melaka.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, antara fokus utama pihaknya bersama agensi berkaitan pada tahun ini adalah untuk melengkapkan profil penduduk.
Jelas beliau, profil penduduk amat penting bagi membolehkan pelbagai perancangan dilakukan pada masa akan datang, terutamanya dalam sudut pembangunan, kebajikan dan lain-lain.
“Setakat ini, kita telah memberi taklimat kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri agar memainkan perana melengkapkan data profil penduduk.
“Ini sangat penting kerana sekiranya profil penduduk tidak lengkap, maka tidak bermaknalah inisiatif Kampung Digital yang digagaskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Antara kepentingan profil penduduk ini adalah ia dapat membantu Kerajaan Negeri dalam merangka pembangunan terancang, termasuklah dalam sudut pembinaan sekolah, klinik dan lain-lain yang akan memberi manfaat untuk penduduk kampung di sesebuah kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program Hari Exco Bersama Rakyat (HEBAT) di Kompleks Seri Negeri, di sini, baru-baru ini.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, selain membekalkan alamat baharu yang lebih tepat menerusi data Geografi Information System (GIS), Kampung Digital juga berperanan merekodkan data jumlah rumah dan sempadan kampung secara tepat.
Pada masa ujar beliau, ia juga mewujudkan pangkalan data berstruktur serta boleh dimanfaatkan oleh agensi kerajaan untuk pengurusan bantuan, pelaporan bencana, perancangan pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam secara bersasar serta efisien.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


