BELANJAWAN 2027: RM935 JUTA DIPERUNTUKKAN UNTUK PELANCONGAN DAN BUDAYA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR 9 Oktober – Sebanyak RM935 juta diperuntukkan bagi sektor pelancongan dan budaya menerusi Belanjawan 2027 susulan keputusan kerajaan melanjutkan kempen Tahun Melawat Malaysia hingga tahun hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu antaranya merangkumi pemberian geran galakan kepada penggiat industri bagi mempromosi serta menganjurkan acara pelancongan, selain meningkatkan mutu kemudahan dan prasarana pelancongan negara.

“Antara kemudahan pelancongan yang akan ditambah baik adalah jeti dan tapak warisan yang berpotensi mendapat pengiktirafan UNESCO seperti Danum Valley, Sabah; Lembah Bujang, Kedah; dan Taman Negara Pahang.

“Selain itu, seni, budaya dan warisan negara terus diperkasa menerusi penganjuran Festival Budaya sempena Sukan SEA, selain sokongan kepada penggiat industri kraf tangan, tenun dan batik,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kemasukan pelancong antarabangsa, kerajaan turut menyediakan Geran Sepadan Penerbangan Antarabangsa dan Carter bagi merintis laluan penerbangan terus baharu dari China, India, Asia Tengah dan Eropah.

“Skop geran berkenaan turut diperluas meliputi kapal persiaran, feri dan bas persiaran yang membawa pelancong antarabangsa ke Malaysia,” ujarnya.

Selain itu, Perdana Menteri juga mahu Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi acara besar bertaraf antarabangsa.

Untuk itu, ujar beliau, rebat akan diberikan kepada penganjur acara di lokasi berkapasiti sekurang-kurangnya 10,000 penonton, manakala galakan cukai bagi lawatan insentif, persidangan dan pameran perdagangan bertaraf antarabangsa dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2030.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

322
Kongsi :
Previous post BELANJAWAN 2027: MELAKA NEGERI TUMPUAN PELABURAN, PEMBANGUNAN BAKAT
Next post BELANJAWAN 2027: MELAKA BAKAL MILIKI PUSAT PERMATA KURNIA