MELAKA PASTIKAN HAK PEKERJA ISLAM TUNAI SOLAT JUMAAT TERPELIHARA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 23 November – Kerajaan Negeri memastikan hak pekerja Islam di Melaka untuk menunaikan solat Jumaat terus diberi perhatian, termasuk meminta mereka tampil membuat laporan sekiranya berdepan halangan daripada majikan.

Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan berhubung pekerja Islam di negeri ini yang tidak dibenarkan meninggalkan tempat kerja untuk menunaikan solat Jumaat.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga tidak mempunyai perancangan untuk mewajibkan premis perniagaan ditutup sementara ketika solat Jumaat seperti ketetapan yang dilaksanakan di Kuala Terengganu.

“Setakat ini, kita tidak mempunyai isu sedemikian di Melaka dan Kerajaan Negeri juga tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan ketetapan seperti itu, namun apa yang berlaku sebelum ini telah membuka satu ruang perbincangan.

“Bagaimanapun, jika terdapat pekerja lelaki Islam yang telah baligh tetapi tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat, saya minta perkara itu dilaporkan segera kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat penyelarasan portfolionya di Bilik Mesyuarat Intan, Pejabat Tanah dan Galian Melaka, Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Rais berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya setakat ini, tiada laporan pekerja yang berdepan halangan sedemikian, sama ada dalam sektor peruncitan, perkilangan mahupun sektor lain.

Justeru, beliau berharap majikan dan pekerja dapat memastikan urusan pekerjaan tidak menjadi penghalang kepada pekerja Islam untuk melaksanakan tuntutan agama berkenaan.

Pada 20 November lalu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong memuat naik gambar dua notis di sebuah kedai serbaneka di Kuala Terengganu. Satu notis dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), manakala satu lagi memaklumkan premis berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan pekerja Islam menunaikan solat Jumaat.

Poay Tiong kemudian menjelaskan bahawa persoalan yang dibangkitkannya tertumpu kepada skop penguatkuasaan arahan MBKT, khususnya kesannya terhadap peniaga bukan Islam. Beliau turut mengemukakan permohonan maaf secara terbuka pada 21 November.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

248
Kongsi :
Previous post CALON SPM HARI INI, PEMIMPIN MELAKA MASA DEPAN