
‘PELUANG PEKERJAAN, MASA DEPAN ANAK MELAKA JADI TANGGUNGJAWAB SAYA’
KLEBANG 23 November – Penyediaan peluang pekerjaan dan kemudahan pendidikan untuk generasi muda merupakan antara tanggungjawab kerajaan dalam memastikan anak bangsa mempunyai ruang membina masa depan lebih baik.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan mempunyai peranan menyediakan kemudahan pendidikan termasuk pembinaan infrastruktur dan kemudahan sekolah, selain program-program pendidikan dalam melahirkan generasi berilmu.
Menurutnya, tanggungjawab itu turut merangkumi usaha menyediakan peluang pekerjaan supaya anak muda mempunyai laluan untuk membina kehidupan selepas menamatkan pengajian.
“Saya bertanggungjawab nak menyediakan peluang-peluang pekerjaan. Saya datang daripada rakyat, saya kena kembalikan khidmat saya kepada rakyat, bukan untuk saya dan keluarga saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Santunan Kasih YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Exco Kesihatan dan Modal Insan Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, pelajar perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan yang disediakan dengan meneroka ilmu, membuat kajian serta menentukan hala tuju masing-masing selepas menduduki SPM.
Katanya, kemudahan pembelajaran yang semakin berkembang termasuk kelas tuisyen, dan pelbagai aplikasi pendidikan dalam talian perlu digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan pengetahuan serta kemampuan diri.
Beliau turut mengingatkan bahawa pendidikan bukan sekadar untuk memperoleh keputusan peperiksaan yang baik, sebaliknya menjadi asas kepada generasi muda mendapatkan pekerjaan dan membina kehidupan pada masa depan.
Justeru, beliau berharap anak-anak Melaka dapat menggunakan peluang yang tersedia untuk meningkatkan pencapaian diri sekali gus menjadi generasi yang mampu menyumbang kembali kepada masyarakat dan negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

