PENGGAL KE-16: MELAKA MAHU SEKOLAH LEBIH BAIK, PENDIDIKAN LEBIH BERKUALITI

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KLEBANG 23 November – Penambahbaikan infrastruktur sekolah dan kaedah pembelajaran antara aspek yang akan terus diberikan perhatian Kerajaan Negeri dalam usaha memperkukuh sektor pendidikan Melaka bagi penggal ke-16.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pendidikan kekal menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri dan pelbagai bentuk sokongan akan terus dipertingkatkan bagi membantu sekolah menyediakan persekitaran pembelajaran lebih baik.

Menurutnya, usaha berkenaan turut merangkumi nilai tambah dalam aspek kemudahan infrastruktur serta pendekatan pendidikan yang berupaya meningkatkan potensi dan keupayaan anak-anak Melaka.

“Pastinya kita akan cuba membantu sekolah-sekolah sebaik mungkin dan memberikan nilai tambah dalam pelbagai bentuk, sama ada dari segi infrastruktur ataupun kaedah pendidikan anak-anak.

“Sektor pendidikan tidak pernah kita ketepikan,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi program Santunan Kasih YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Exco Kesihatan dan Modal Insan Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, usaha memperkukuh sektor pendidikan memerlukan kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka serta seluruh warga pendidik bagi memastikan setiap inisiatif dapat memberikan manfaat kepada golongan sasar.

Katanya, komitmen itu penting bagi memastikan generasi muda Melaka mendapat sokongan sewajarnya untuk mengembangkan potensi diri, meningkatkan pencapaian akademik serta mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas pengorbanan dan komitmen mereka dalam mendidik serta membentuk generasi berilmu yang bakal menjadi aset penting kepada negeri dan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

81
Kongsi :
Previous post JANGAN LUPA JASA GURU, TOK RAUF TITIP PESANAN BUAT CALON SPM MELAKA