
RAIS INGATKAN BATAS ISU AGAMA, PERMOHONAN MAAF BELUM CUKUP REDAKAN POLEMIK
AYER KEROH 23 November – Pemimpin politik diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika membangkitkan isu sensitif bagi mengelakkan kenyataan atau hantaran di media sosial mencetuskan salah faham serta menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Rais Yasin berkata, peringatan itu turut ditujukan kepada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong susulan hantaran beliau berhubung isu penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat di Kuala Terengganu yang dikaitkan dengan Melaka.
Beliau berkata, teguran yang dibuat sebelum ini bertujuan menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri setakat ini tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan ketetapan sama seperti di Kuala Terengganu.
“Untuk laporan polis atau tindakan lanjut, di peringkat Kerajaan Negeri kita belum ada perancangan.
“Cuma, sebagai membalas permohonan maaf itu, kita berharap selepas ini kita sama-sama lebih berhati-hati kerana rakyat Negeri Melaka terdiri daripada masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat penyelarasan portfolionya di Bilik Mesyuarat Intan, Pejabat Tanah dan Galian Melaka, Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Rais berkata, beliau memilih untuk menunggu Poay Tiong mengemukakan permohonan maaf sebelum memberikan maklum balas, namun berpandangan permohonan itu belum semestinya dapat meredakan polemik yang tercetus.
“Permohonan maaf ini suatu perkara yang baik dan Allah SWT juga menyuruh kita memaafkan antara satu sama lain.
“Bagaimanapun, dalam isu sensitif seperti ini, saya tidak fikir permohonan maaf itu sudah cukup untuk melegakan semua pihak kerana perkara ini telah menjadi satu polemik politik,” katanya.
Beliau turut mengimbas hubungan kerjasama yang pernah terjalin bersama Poay Tiong ketika berada dalam kerajaan yang sama, sambil berharap perkara seumpama itu tidak berulang.
“Saya berharap kepada sahabat saya juga, kita pernah bersama dalam satu kerajaan. Saya kenal peribadi beliau, seperti mana mungkin beliau juga mengenali saya. Saya harap kita jangan lakukan perkara sebegini lagi,” katanya.
Mengulas sama ada hantaran berkenaan bertujuan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Melaka, Rais berkata, hanya Poay Tiong mengetahui tujuan sebenar tindakannya itu.
Katanya, Kerajaan Negeri bertanggungjawab menjaga kepentingan dan keharmonian seluruh rakyat tanpa mengira kaum serta agama.
“Dalam masa sama, kita juga bertanggungjawab bukan hanya kepada orang Islam. Sudah tentu kita turut bertanggungjawab terhadap semua rakyat Negeri Melaka,” katanya.
Pada 20 November lalu, Poay Tiong berkongsi gambar dua notis yang dipamerkan di sebuah cawangan kedai serbaneka di Kuala Terengganu. Satu notis dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), manakala satu lagi memaklumkan pelanggan bahawa premis berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan pekerja Islam menunaikan solat Jumaat.
Dalam penjelasannya pada hari sama, beliau berkata persoalan yang dibangkitkan tertumpu kepada skop penguatkuasaan arahan itu serta kesannya terhadap peniaga bukan Islam.
Bagaimanapun, sehari kemudian, Poay Tiong memohon maaf secara terbuka dan mengakui pemilihan kata serta nada hantarannya telah menimbulkan salah faham dan menyinggung perasaan. Beliau turut menegaskan bahawa beliau menghormati ibadah solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikannya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

