HARI PERTAMA, RIDHWAN DENGAR ‘SUARA’ SEKOLAH DAN JABATAN PENDIDIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 23 November – Memahami keperluan sekolah serta menyelaraskan gerak kerja bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka menjadi antara langkah awal Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali selepas memulakan tugas sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri.

Beliau memulakan tugasan rasmi dengan menyertai Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh menyantuni calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, selain bertemu guru dan pentadbir sekolah bagi mendapatkan gambaran mengenai keperluan semasa institusi pendidikan berkenaan.

Menurutnya, maklum balas yang diterima daripada warga sekolah antaranya melibatkan keperluan infrastruktur yang memerlukan perhatian dan penelitian lanjut.

“Penerimaan guru-guru dan warga SMK Klebang Besar amat positif dan mereka menaruh harapan tinggi terhadap bagaimana Kerajaan Negeri boleh bersama-sama membantu.

“Kita mengambil maklum beberapa perkara yang diperlukan, di samping melihat perkembangan baik di sekolah berkenaan termasuk kemudahan infrastruktur baharu serta penubuhan unit prasekolah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, selain keperluan sekolah pihaknya turut mengadakan pertemuan bersama Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor bagi menyelaraskan gerak kerja pentadbiran di bawah portfolio berkenaan.

Mohd Ridhwan berkata, pertemuan itu penting bagi membolehkannya memahami situasi semasa sektor pendidikan negeri, selain mendapatkan maklum balas secara langsung berhubung permasalahan dan keperluan yang perlu diberi perhatian.

Mengulas sasaran keputusan SPM tahun ini, beliau berkata, pihaknya akan meneruskan sasaran 2026 yang telah ditetapkan memandangkan peperiksaan berkenaan sudah bermula.

“Di bawah pentadbiran dan portfolio saya, sasaran baharu hanya akan dirangka selepas ini bagi tahun 2027,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

170
Kongsi :
Previous post MELAKA PASTIKAN HAK PEKERJA ISLAM TUNAI SOLAT JUMAAT TERPELIHARA