
JUALAN MELAKA SAYANG RAKYAT DI 28 DUN BERMULA 2027
AYER KEROH 23 November – Program Jualan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) akan mula dilaksanakan dengan penyelarasan lebih bersasar tahun hadapan, dengan wakil rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diberi peranan menentukan lokasi jualan mengikut keperluan penduduk setempat.
Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pendekatan itu membolehkan pelaksanaan program di 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) disesuaikan dengan keperluan masyarakat, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai rakyat.
Katanya, program berkenaan merupakan antara inisiatif yang terkandung dalam manifesto 100 Hari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), termasuk tawaran potongan harga 30 peratus bagi pembelian bekalan ayam dan daging.
“Untuk Jualan MeSRa ini, penyelarasannya akan mengambil kira kerjasama Japerun bagi membolehkan pelaksanaan program di peringkat DUN dan Parlimen dilakukan dengan lebih teratur.
“Wakil rakyat atau Adun kawasan mempunyai pemahaman lebih dekat mengenai keperluan penduduk di kawasan masing-masing, sekali gus dapat membantu mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk pelaksanaan jualan murah.
“Kita mahu wakil rakyat sendiri menentukan lokasi bersesuaian supaya bantuan dapat disampaikan kepada masyarakat yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Post Exco Penyelarasan Portfolio Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata, penyelarasan itu bukan sahaja bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah, malah membuka peluang kepada peniaga setempat untuk turut menerima manfaat daripada pelaksanaan program berkenaan.
“Kita mahu pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, tetapi turut memberi impak kepada peniaga setempat menerusi program jualan MeSRa anjuran Kerajaan Negeri.
“Diharapkan usaha ini dapat disampaikan secara lebih meluas, khususnya kepada golongan yang memerlukan bantuan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

