LANGKAH PERTAMA HEE SEM, PERKUKUH USAHA TARIK PELABURAN KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 23 November – Datuk Ngwe Hee Sem memulakan tugas rasminya sebagai Timbalan Exco Pelaburan dan Industri negeri dengan komitmen memperkukuh usaha menarik kemasukan pelaburan baharu ke Melaka bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, satu sesi taklimat bersama Perbadanan Melaka (MCORP) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dijadualkan berlangsung bagi memperincikan skop tugas serta hala tuju portfolio berkenaan.

Menurutnya, beliau bersedia menggalas cabaran baharu itu termasuk menyertai misi pelaburan ke luar negara bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dan pihak MIDA bagi meneroka peluang menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

“Ini satu cabaran baharu untuk membawa lebih banyak pelaburan ke Melaka. Saya akan sentiasa bekerjasama dengan MIDA dan mungkin turut menyertai misi ke luar negara bersama Ketua Menteri untuk mencari pelabur baharu yang berminat melabur di Melaka.

“Langkah ini penting bagi merancakkan ekonomi negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pejabat MCORP di Menara MITC, di sini, hari ini.

Mengulas potensi pembangunan pelaburan di kawasan luar bandar, Hee Sem berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan MCORP dalam masa terdekat bagi meneliti perancangan berkaitan.

Katanya, antara perancangan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri ialah pembangunan kawasan perindustrian seluas 5,000 ekar di Parlimen Masjid Tanah yang akan diuruskan oleh MCORP.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

127
Kongsi :
Previous post 20 TAHUN MELAHIRKAN JURURAWAT, KOLEJ ORIENTAL NILAM RAI 422 GRADUAN BAHARU