Sorting by

×

KLEBANG LOKASI RUMAH TERBUKA TAHUN BAHARU CINA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

MACHAP JAYA 17 Februari – Persembahan tradisional bertemakan tahun kuda bakal menjadi tarikan pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Melaka 2026 yang akan diadakan di Dataran 1Malaysia Klebang, pada 3 Mac depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, pihaknya berbesar hati apabila tahun ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dipilih menjadi tuan rumah dan pastinya sesuatu yang menarik akan disediakan untuk pengunjung yang hadir.

“Memandangkan tahun ini adalah tahun kuda jadinya kita cuba tampilkan kelainan dengan mengadakan persembahan kebudayaan tradisional berlatar belakangkan kuda tetapi dalam zaman moden.

“Memandangkan lokasi rumah terbuka berdekatan dengan Bazar Aidilfitri Klebang kami jangkakan kehadiran pengunjung sekitar 10,000 dan sambutan dijangka akan bermula pada jam 9 malam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu Cina 2026, di Padang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru, di sini, semalam.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dengan diiringi Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Menurut Ban Hong, semua penduduk Melaka dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan sambutan rumah terbuka dan sekali gus mengeratkan lagi silaturahim antara kaum.

“Walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya tetapi kita berkongsi perayaan dan semangat perpaduan malah sambutan ini menjadi platform terbaik untuk mengeratkan lagi silaturahim antara kaum di Melaka.

“Ini juga dapat dilihat menerusi pelbagai juadah yang akan disediakan termasuk makanan tradisional masyarakat Cina, Melayu, India serta Baba dan Nyonya,” katanya.

Tambahnya, penganjuran rumah terbuka itu juga dilihat mampu mempromosikan Klebang sebagai lokasi tumpuan sekali gus menyokong usaha merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post 2026 TAHUN PERKASA KAMPUNG DIGITAL MELAKA
Next post KENDERAAN BERAT DILARANG MASUK BANDAR MELAKA SELAMA 4 HARI