TAK MAMPU PENUHI KONTRAK, JANGAN AMBIL TENDER KANTIN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 25 November – Pengusaha kantin dan pembekal makanan di sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT) di Melaka diingatkan supaya mengutamakan kejujuran dan tidak mengambil kontrak sekiranya gagal memenuhi tanggungjawab penyediaan makanan mengikut standard ditetapkan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, aspek penyediaan makanan tidak boleh dipandang ringan kerana sebarang kecuaian bukan sahaja menjejaskan kualiti perkhidmatan, malah boleh mengancam kesihatan dan keselamatan pelajar.

Menurutnya, pengusaha yang merasakan tidak mampu melaksanakan perkhidmatan berdasarkan nilai kontrak ditawarkan seharusnya tidak menerima tender berkenaan dan memberi laluan kepada pihak lain yang lebih berkemampuan serta komited.

“Pertama sekali mereka mesti jujur. Jika tidak mampu dengan nilai yang ditawarkan, jangan ambil dan serahkan semula supaya pihak yang betul-betul layak serta komited dapat melaksanakannya.

“Dalam masa yang sama, jaga kualiti dan imej perniagaan kerana sudah tentu mereka mahu terus kekal lama dalam bidang penyediaan makanan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Seri Negeri, pada Selasa.

Mohd Ridhwan turut menegur sikap segelintir pengusaha yang melepaskan tanggungjawab kepada pekerja apabila berlaku insiden, sedangkan syarikat sendiri merupakan pihak yang menandatangani kontrak dan bertanggungjawab memastikan perkhidmatan dilaksanakan mengikut ketetapan.

Katanya, majikan tidak boleh hanya bergantung kepada pekerja, sebaliknya perlu turun padang memantau operasi serta memastikan pemeriksaan dan kawalan kualiti makanan dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada pentadbiran sekolah dan IPT supaya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penyediaan makanan sentiasa diberi perhatian.

“Sebagai Exco Kerajaan Negeri, saya berpandangan sekiranya berlaku kelemahan atau kesalahan dalam penyediaan makanan, tindakan pertukaran pembekal perlu dilakukan serta-merta agar perkara ini diambil serius dan tiada pihak bersikap sambil lewa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

204
Kongsi :
Previous post DARI MASJID KE SURAU, RAIS SUSUN LANGKAH PERKASA AGENDA AGAMA DI MELAKA