JANJI MANIFESTO 100 HARI JADI KEUTAMAAN RAIS

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 24 November – Semua agensi di bawah portfolio Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup diminta segera menyemak serta mengemukakan senarai komitmen manifesto 100 hari bagi membolehkan penyelarasan pelaksanaan dibuat dalam tempoh terdekat.

Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Rais Yasin berkata, beliau mahu semua agensi mengemukakan perkara berkaitan manifesto masing-masing dalam minggu ini supaya tindakan susulan dapat disusun dan dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan setiap janji yang ditawarkan Kerajaan Negeri dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Saya memang memberi penumpuan kepada manifesto 100 hari terlebih dahulu. Saya sudah minta semua agensi menyemak dan mengeluarkan perkara yang terlibat dalam manifesto masing-masing secepat mungkin.

“Saya mahu perkara itu dikemukakan dalam minggu ini supaya kita dapat menyelaraskan pelaksanaannya dan memastikan segala yang dijanjikan dapat ditunaikan sebelum tempoh 100 hari itu berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Post Exco Penyelarasan Portfolio Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri di Wisma Negeri, di sini, pada Isnin.

Rais berkata, penyelarasan bersama agensi berkaitan itu akan menjadi langkah awal untuk memastikan setiap komitmen di bawah portfolio berkenaan mempunyai hala tuju pelaksanaan yang jelas, sekali gus membolehkan kemajuan setiap inisiatif dipantau sehingga manfaatnya dapat dirasai rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

102
Kongsi :
Previous post TUJUH TAHUN TANPA KHABAR, IBU RAYU ANAK PULANG