
TUJUH TAHUN TANPA KHABAR, IBU RAYU ANAK PULANG
KLEBANG 24 November – Setiap hari wanita ini masih menyimpan harapan untuk melihat anak sulungnya pulang ke pangkuan keluarga, meskipun sudah tujuh tahun berlalu sejak dilaporkan hilang tanpa sebarang khabar berita.
Bagi Asiah Basiron, 51, penantian itu bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi pelbagai usaha dilakukan termasuk menghabiskan belasan ribu ringgit bagi menjejaki keberadaan anaknya Muhd Akmal Sahrul Nizam, 28, yang keluar rumah pada 3 Oktober 2019 untuk bekerja di sebuah kilang di Malim.
Asiah berkata, sebelum kejadian, anaknya yang mesra disapa ‘Kemal’ mula banyak menghabiskan masa dengan melayan kenalan menerusi Facebook.
Menurutnya, perkenalan yang berlangsung kira-kira dua bulan itu merupakan sesuatu yang luar biasa kerana anaknya sebelum ini tidak pernah berkenalan dengan mana-mana individu menerusi media sosial.
“Pada hari Khamis ketika kali terakhir dia ingin keluar rumah untuk ke tempat kerja dia sempat memeluk saya dengan erat sebelum memaklumkan yang kami nanti sudah tidak dapat berjumpa lagi.
“Ketika itu saya tidak menyangka kata-katanya membawa maksud dia akan pergi dan tidak pulang sehingga sekarang meskipun pelbagai usaha sudah dilakukan,” katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Pulau Gadong, semalam.
Katanya, selepas gagal mengesan anak sulungnya dalam tempoh 24 jam, dia dan suami membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa sebelum ada yang memaklumkan ternampak Muhd Akmal berada di Cheras.
“Pelbagai ikhtiar sudah kami lakukan termasuk menghabiskan belasan ribu ringgit untuk mencari Kemal, tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang petunjuk.
“Sebagai seorang ibu hati saya tidak tenang, setiap hari asyik memikirkan keadaan dia, bagaimana keadaan kehidupan dilalui dan bermacam lagi malah bertambah sayu apabila tibanya hari raya,” katanya.
Menurut Asiah, ujian dilaluinya semakin berat apabila anak keduanya meninggal Jun lalu, sekali gus menambah kesedihan yang ditanggung dia dan keluarga.
“Dulu seorang anak hilang, sekarang seorang lagi sudah tiada. Saya terlalu rindukan Kemal dan berharap dia masih hidup serta berada dalam keadaan selamat.
“Untuk Kemal, mama amat rindu kamu, pulang lah adik pun sudah tiada malah ayah pun selalu sakit.
“Saya merayu kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau ada ternampak anak saya untuk membantu kami agar dapat membawa dia pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

