KHATAN PERCUMA, MAIM RINGANKAN BEBAN 50 ANAK ASNAF ALOR GAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

PENGKALAN BATU 24 November – Seramai 50 anak asnaf di daerah Alor Gajah berpeluang menyertai Program Khatan Anak Asnaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) 2026 secara percuma yang dijadual berlangsung pada 12 Disember depan.

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, program anjuran Badan Sukarelawan Al-Taqwa MAIM (BSAT) dengan kerjasama Kluster Perubatan dan Kesihatan BSAT itu merupakan sebahagian usaha membantu meringankan beban keluarga asnaf, khususnya dalam menyediakan keperluan berkhatan anak-anak.

Menurutnya, program berkenaan dilaksanakan mengikut daerah dan bagi tahun ini, Alor Gajah menjadi lokasi tumpuan selepas penganjuran terdahulu di daerah Melaka Tengah.

“Kita menyasarkan penyertaan seramai 50 anak asnaf di daerah Alor Gajah dan setakat ini masih ada kuota untuk anak-anak asnaf ini.

“Jadi, kita berharap ibu bapa yang mempunyai anak memenuhi kriteria ditetapkan dapat mengambil peluang ini untuk mendaftarkan penyertaan mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata, program berkenaan terbuka kepada anak asnaf dalam kategori fakir, miskin atau mualaf yang menetap di daerah Alor Gajah, berusia antara enam hingga 12 tahun serta merupakan warganegara Malaysia.

Katanya, penyertaan adalah percuma dan terhad kepada 50 peserta terawal, manakala makanan serta minuman turut disediakan kepada semua peserta sepanjang program berlangsung.

Program berkenaan dijadual berlangsung di Masjid Salmah Khamis, Masjid Tanah, bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Ibu bapa yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut atau menguruskan pendaftaran menerusi talian Pejabat BSAT di 06-286 8109 atau WhatsApp Hotline BSAT di 011-5852 2074.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

85
Kongsi :
Previous post MELAKA SASAR 320 SEKOLAH NIKMATI KEMUDAHAN PEMBELAJARAN MODEN