
DARI MASJID KE SURAU, RAIS SUSUN LANGKAH PERKASA AGENDA AGAMA DI MELAKA
AYER KEROH 25 November – Sebanyak 195 masjid dan kira-kira 800 surau di seluruh Melaka menjadi antara institusi yang diberi perhatian Datuk Rais Yasin dalam usaha memperkukuh pengurusan serta pembangunan hal ehwal Islam di negeri ini.
Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri itu berkata, beliau komited untuk turun padang sekerap mungkin bagi meneliti sendiri keperluan serta cabaran yang dihadapi institusi agama dan agensi di bawah portfolio berkenaan.
Katanya, portfolio agama mempunyai skop tanggungjawab yang luas kerana merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat Islam, termasuk pendidikan, kebajikan, pengurusan agama dan kehakiman syariah.
“Melaka mempunyai 195 masjid di seluruh negeri, kira-kira 800 surau serta pelbagai agensi besar di bawah portfolio agama ini.
“Hampir 4,000 pekerja berada di bawah portfolio ini, termasuk guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (SRA JAIM) serta pegawai yang berkhidmat di jabatan agama dan agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Post Exco Penyelarasan Portfolio Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri di Wisma Negeri, di sini, pada Isnin.
Menurut Rais, portfolio berkenaan turut merangkumi Jabatan Kehakiman Syariah, pusat zakat serta pelbagai institusi lain yang memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan hal ehwal Islam di Melaka berjalan lancar.
Justeru, katanya, kerjasama erat dengan semua agensi berkaitan amat penting bagi memastikan setiap perancangan Kerajaan Negeri dapat diselaraskan dan dilaksanakan secara berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh atas kepercayaan diberikan untuk menerajui portfolio berkenaan, selain Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam atas pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Insya-Allah, saya akan cuba sedaya upaya untuk menjayakan aspirasi Kerajaan Negeri berkaitan portfolio ini dan memberikan komitmen terbaik demi kepentingan rakyat Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

