BECA JADI IKON PELANCONGAN, TAPI DISIPLIN TETAP KEUTAMAAN – ABDUL RAZAK

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DUYONG 24 November – Pengayuh beca di Melaka diminta supaya terus memainkan peranan dengan memperkasakan lagi peranan mereka sebagai duta pelancongan di negeri ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman amat menghargai peranan dimainkan oleh pengayuh beca yang juga ikon pelancongan Melaka.

Namun pada masa yang sama Abdul Razak mengingatkan kepada semua pengayuh beca supaya menjaga disiplin, akur dan patuh kepada peraturan serta undang-undang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau agensi penguatkuasaan yang lain.

“Jika ada dalam kalangan pengayuh beca ini dikesan berulang kali melanggar syarat lesen atau peraturan sudah ditetapkan, lesen mereka boleh ditarik balik dalam tempoh 24 jam.

“Sekiranya diberikan peringatan, contoh oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), pengayuh beca diminta supaya patuh kepada teguran berkenaan.

“Ini maknanya kita hendak memberi peringatan, namun sekiranya masih juga mengulangi kesalahan sama kita boleh menarik balik lesen dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Taklimat Pengayuh Beca Negeri Melaka 2026 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad dan Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff.

Menurut Abdul Razak, setiap pengayuh beca juga perlu mengikuti taklimat serta program yang disusun MBMB sebelum lesen baharu diserahkan atau permit diperbaharui.

“Syarat-syarat (lesen) juga mesti diperketatkan kerana kita tidak mahu ada dalam kalangan pengayuh sewenang-wenangnya mendapat permit, kemudian melakukan sesuka hati.

“Sebelum kita serahkan lesen baharu, mereka harus mengikuti taklimat dan program yang telah disusun. Begitu juga dengan peraturan yang sudah ditetapkan oleh PBT kerana pengayuh beca ini sama seperti pemandu teksi mahu pun pemandu bas yang perlu mengikut peraturan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

214
Kongsi :
Previous post BAN HONG MULAKAN MISI JELAJAH, FAHAMI REALITI FASILITI KESIHATAN MELAKA