BAN HONG MULAKAN MISI JELAJAH, FAHAMI REALITI FASILITI KESIHATAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERI NEGERI 24 November – Memahami keperluan sebenar fasiliti kesihatan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan menjadi fokus utama misi jelajah hospital dan klinik kesihatan di seluruh Melaka oleh kepimpinan portfolio Kesihatan dan Modal Insan negeri.

Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, misi berkenaan akan dilaksanakan bersama timbalannya, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dengan memberi tumpuan kepada keadaan infrastruktur, keperluan anggota perubatan serta mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Menurutnya, pendekatan turun padang itu penting bagi membolehkan pihaknya melihat sendiri kekangan yang dihadapi setiap fasiliti, selain mendapatkan pandangan petugas kesihatan dan pesakit berhubung perkara yang perlu diberi perhatian.

Katanya, antara isu yang dikenal pasti termasuk keperluan penambahan bangunan, kekurangan ruang, kemudahan tempat letak kenderaan serta keadaan bangunan lama yang memerlukan penambahbaikan.

“Setiap klinik mempunyai kekangan berbeza seperti keperluan menambah bangunan, masalah tempat letak kenderaan dan bangunan lama yang ruangnya kecil.

“Sebab itu kita mahu memahami perkara utama yang perlu ditambah baik dan turun melawat satu persatu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Ban Hong menjelaskan, skop jelajah itu merangkumi tiga hospital utama iaitu Hospital Melaka di Bukit Baru, Hospital Alor Gajah dan Hospital Jasin, selain 37 klinik kesihatan di seluruh negeri.

Menurutnya, penilaian menyeluruh terhadap keperluan fasiliti kesihatan juga penting bagi membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti perkara yang memerlukan penyelarasan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya berkaitan penambahan anggota dan peralatan perubatan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan usaha sedia ada termasuk kerjasama dengan hospital swasta akan diteruskan bagi mempercepatkan pemeriksaan kesihatan serta penyediaan laporan perubatan, terutama dalam membantu menangani isu kesesakan di Hospital Melaka.

“Kualiti perkhidmatan perubatan merangkumi aspek infrastruktur, kecekapan pegawai perubatan serta persekitaran yang baik.

“Semua ini kita ambil kira melalui semangat kerja berpasukan bagi memastikan rakyat Melaka menerima rawatan terbaik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

128
Kongsi :
Previous post AYAM MENTAH MRSM: PENGUSAHA KANTIN CUAI WAJAR DISENARAIHITAM – RIDHWAN