
AYAM MENTAH MRSM: PENGUSAHA KANTIN CUAI WAJAR DISENARAIHITAM – RIDHWAN
SERI NEGERI 24 November – Tempoh kontrak yang hampir tamat bukan alasan untuk pengusaha kantin mengabaikan tanggungjawab menyediakan makanan berkualiti kepada pelajar, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sehubungan itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berpandangan syarikat pengendali kantin sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di negeri ini wajar dikenakan tindakan tegas termasuk disenaraihitamkan sekiranya siasatan membuktikan berlaku kecuaian.
Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung hasil siasatan daripada pengurusan MRSM serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat dipertimbangkan terhadap syarikat terbabit.
“Bergantung kepada siasatan yang dilakukan oleh pihak berkaitan, saya melihat memang itu tindakan yang sewajarnya dilakukan.
“Jika terbukti kecuaian di pihak syarikat, sebagai satu tanda pengajaran supaya orang lain tidak mengikut tindakan begitu, syarikat ini wajar disenaraihitamkan daripada beroperasi khususnya di negeri Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita di Seri Negeri, hari ini.
Mohd Ridhwan berkata, insiden berkenaan amat dikesali kerana kualiti penyediaan makanan perlu terus dijaga sepanjang tempoh kontrak, bukannya dikurangkan apabila perkhidmatan menghampiri penghujung.
“Sepatutnya di penghujung tempoh perkhidmatan, mereka menunjukkan tanggungjawab dan memberikan yang terbaik sebagai tanda terima kasih serta penghargaan kepada MARA dan MRSM yang memberi kepercayaan menyediakan makanan kepada anak-anak kita.
“Tindakan sewajarnya patut diambil bagi menjadi pengajaran kepada pengusaha makanan lain agar sentiasa meletakkan klien mereka di hadapan, terutamanya pelajar yang bergantung kepada makanan disediakan di kantin institusi mereka,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa pelajar dan ibu bapa MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin mengadu berhubung hidangan ayam masak kicap yang didakwa tidak dimasak sempurna di dewan selera maktab berkenaan ketika makan malam pada 23 November lalu.
Menurut laporan berkenaan, lauk ayam yang disediakan habis sekitar jam 6.40 petang sebelum hidangan tambahan disediakan kira-kira 30 minit kemudian. Bagaimanapun, ayam yang dimasak semula itu turut didapati tidak sempurna sebelum pihak dewan selera menyediakan makanan gantian kepada pelajar terjejas.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

