MELAKA BERPOTENSI MILIKI HOSPITAL PAKAR KARDIOLOGI, NEUROLOGI

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 24 November – Melaka berpotensi memiliki sebuah lagi hospital pakar berkapasiti 400 katil menerusi cadangan pembinaan Hospital Pakar Kardiologi dan Neurologi bernilai RM875 juta yang dijangka dibawa semula oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tahun depan.

Mantan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, beliau telah mendapatkan perkembangan terkini daripada KKM dan dimaklumkan cadangan projek berkapasiti 400 katil itu akan cuba dibawa semula pada tahun hadapan.

Menurutnya, hospital yang dicadangkan dibina di atas tanah seluas 59 ekar bersebelahan Pusat Rehabilitasi PERKESO itu sebelum ini diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika lawatan kerja rasmi ke Melaka pada Jun lalu.

“Saya sudah bertanya kepada KKM dan mereka akan cuba membawa semula cadangan ini tahun depan apabila semua perincian sudah lengkap.

“Maka, tahun depan kita yakin Melaka mungkin dapat sebuah hospital baharu dengan kapasiti 400 katil yang melibatkan kos pembinaan RM875 juta,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas memulakan tugas sebagai Timbalan Exco Pelaburan dan Perindustrian negeri dengan mengadakan lawatan ke pejabat Perbadanan Melaka (MCORP) di Menara MITC, di sini, pada Isnin.

Hee Sem berkata, berdasarkan pengalaman projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka, keseluruhan tempoh pelaksanaan hospital pakar berkenaan dijangka mengambil masa antara lapan hingga sembilan tahun sekiranya diumumkan dalam Belanjawan tahun hadapan.

“Jika dimasukkan dalam Belanjawan tahun depan, ia mungkin mengambil masa tiga hingga empat tahun sebelum kerja pembinaan bermula, diikuti tempoh empat hingga lima tahun untuk disiapkan.

“Susulan pertukaran portfolio, perkara ini akan diserahkan kepada Exco Kesihatan baharu Datuk Wira Lim Ban Hong untuk tindakan susulan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan pembangunan kesihatan negeri, Hee Sem turut gembira dengan perkembangan projek Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Melaka bernilai RM723 juta yang menyaksikan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) diadakan pada 5 November lalu.

Projek yang dibangunkan di tapak lama Akademi Kejururawatan Hospital Melaka itu dijangka bermula awal 2027 dan siap pada 2031.

Beliau berkata, lawatan Menteri Kesihatan ke Melaka pada Jun lalu turut membawa perkembangan positif menerusi pengumuman pembinaan Klinik Kesihatan baharu bagi kawasan Bukit Katil dan Duyong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post BECA JADI IKON PELANCONGAN, TAPI DISIPLIN TETAP KEUTAMAAN – ABDUL RAZAK