DUA MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU TINGKAT AKSES INTERNET JASIN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

MERLIMAU 25 November – Pembinaan dua menara telekomunikasi dikenal pasti sebagai penyelesaian jangka panjang bagi meningkatkan kualiti liputan komunikasi dan internet di kawasan terjejas sekitar Jasin.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, dua menara itu dirancang dibina di belakang Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Ayer Merbau dan satu lagi di Bandar Botani Parkland.

Katanya, setiap menara berkenaan dijangka mampu menyediakan liputan dalam radius 500 meter, sekali gus membantu memperluas capaian perkhidmatan telekomunikasi kepada penduduk sekitar.

“Kita harap dengan tindakan pantas jawatankuasa telekomunikasi ini, ia akan memudahkan dan mempercepatkan usaha menyelesaikan aduan berkaitan masalah internet yang berlaku di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan pemeriksaan di kawasan yang mengalami gangguan liputan telekomunikasi dan internet di Bandar Botani Parkland, Jasin Bestari, di sini, pada Selasa.

Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, usaha memperkukuh infrastruktur telekomunikasi itu tidak terhad di lokasi berkenaan, sebaliknya akan diperluaskan ke seluruh negeri.

“Usaha ini bukan hanya berhenti di sini sahaja, tetapi akan diteruskan ke seluruh Melaka bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan internet asas terlebih dahulu,” katanya.

EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bersama wakil agensi yang terlibat mengadakan ‘spot check’ ke kawasan mengalami gangguan liputan telekomunikasi dan internet di Presint 3, Bandar Botani Parkland, Merlimau, Jasin. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

285
Kongsi :
Previous post TAK MAMPU PENUHI KONTRAK, JANGAN AMBIL TENDER KANTIN DI MELAKA