
TUJUH HARI BERNIAGA, 90 PERATUS PENIAGA BAZAR IKONIK SUDAH PULANG MODAL
BANDA HILIR 20 Februari – Sambutan luar jangka diterima peniaga Bazar Ikonik Banda Hilir apabila hampir 90 peratus daripada mereka berjaya meraih pulangan modal hanya dalam tempoh tujuh hari pertama beroperasi.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, penganjuran bazar yang memasuki tahun kedua itu diadakan sebagai inisiatif Kerajaan Negeri untuk memeriahkan persiapan menjelang Aidilfitri selain memanfaatkan kawasan tumpuan pelancong.
Menurutnya, pemilihan Banda Hilir sebagai lokasi penganjuran bagi memberi peluang kepada orang ramai membuat persiapan hari raya di samping membolehkan pelancong berbelanja, sekali gus memberi limpahan rezeki kepada peniaga tempatan.
“Lebih 200 peniaga terlibat dan setakat hari ketujuh, hampir 90 peratus daripada mereka telah berjaya menampung kos sewaan tapak serta mencatat keuntungan.
“Rata-rata peniaga meluahkan rasa syukur kerana jualan amat memberangsangkan walaupun baru seminggu berniaga,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan ‘Walkabout’ di bazar berkenaan, di sini, pada Rabu.
Shadan berkata, pembukaan awal bazar bersempena cuti Tahun Baharu Cina yang digabungkan dengan tempoh awal Ramadan turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung.
“Keadaan ini membuktikan Banda Hilir terus menjadi lokasi tumpuan orang ramai dan berpotensi sebagai kawasan strategik penganjuran bazar ikonik yang mampu merancakkan ekonomi penjaja tempatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


