
PROJEK BAHARU PADANG RIMAU BANGUNKAN 130 HEKTAR TANAH TERBIAR
GADEK 26 Februari – Kira-kira 130 hektar tanah terbiar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek bakal diusahakan dengan tanaman kelapa sawit menerusi Projek Baharu Padang Rimau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam berkata, projek yang diusahakan oleh FELCRA Berhad itu membabitkan tiga projek FELCRA terdahulu iaitu Kampung Padang Sebang; Tanjung Rimau dan Pegoh.
Katanya, projek bersepadu itu akan diuruskan secara berpusat oleh Pejabat FELCRA Bukit Sedanan yang bakal memberi manfaat besar kepada pemilik tanah yang sebelum ini tidak mengusahakan tanah mereka secara optimum.
“Pembangunan tanah terbiar secara berkelompok melibatkan 350 peserta dan sistematik itu mampu menjadikan kawasan terbabit lebih produktif serta menjana pendapatan mampan kepada pengusaha terlibat dalam tempoh jangka panjang.
“Pelaksanaan projek yang diberi nama Projek Baharu Padang Rimau ini dapat membuka peluang ekonomi kepada pemilik tanah selain menjadikan kawasan terbiar lebih berdaya maju dan memberi pulangan kepada peserta melalui agihan dividen oleh FELCRA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Dialog Projek Baharu Padang Rimau yang diadakan di Japerun Gadek baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Shanmugam yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata projek itu dijangka dimulakan pada tahun ini selepas semua peserta menandatangani perjanjian penyertaan bersama FELCRA.
Jelasnya, penyediaan kemudahan infrastruktur ladang seperti jalan pertanian dan sistem saliran yang akan dibuat kelak bakal memberi manfaat kepada masyarakat sekitar.
“Menerusi projek ini juga, pembangunan tanaman komersial kelapa sawit akan meningkatkan nilai pasaran tanah tanah sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


