
JKDM MELAKA TUMPASKAN KEGIATAN SELUDUP E-SISA, ROKOK BERNILAI RM1.84 JUTA
Pengarah JKDM Melaka Roslan Yusoff berkata rampasan pertama melibatkan 88,270 kilogram e-sisa terpakai dianggarkan bernilai RM660,000 termasuk cukai dalam empat kontena disyaki diimport dari sebuah negara Asia ke Pelabuhan Utara Klang, Selangor dalam pemeriksaan pada 11.35 pagi.
“Siasatan awal mendapati e-sisa berkenaan diimport oleh dua syarikat tempatan beralamat di Selangor dan barang dagangan itu diisytiharkan sebagai ‘konsentrat tembaga’ dalam Borang Kastam 1.
“Bagaimanapun pemeriksaan fizikal ke atas empat kontena berkenaan mendapati ia dimuatkan dengan e-sisa terpakai dan kesemua kontena itu disita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Roslan berkata seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang mewakili syarikat ejen perkapalan menguruskan pengimportan kontena terbabit ke negara ini telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1957.
Beliau berkata serbuan kedua membabitkan rampasan 818,600 batang rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM624,263.20 termasuk cukai di sebuah rumah tidak berpenghuni di daerah Melaka Tengah pada 3.30 petang hari yang sama.
Menurut Roslan, serbuan dilakukan ke atas premis yang disyaki dijadikan stor penyimpanan rokok seludup itu dibuat selepas pemerhatian selama tiga jam mendapati tiada sebarang pergerakan barang kes.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas premis itu menemukan sebahagian rokok yang ditampal dengan setem cukai kastam palsu dan sebahagian pula tiada setem cukai kastam disimpan di beberapa bahagian di rumah berkenaan.
“Serbuan ketiga pula membabitkan rampasan sebanyak 746,200 batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM558,157.60 termasuk cukai di sebuah kedai membaiki cermin kereta di daerah sama pada 4 petang.
“Ketika serbuan dilakukan, kedai berkenaan tidak beroperasi dan rokok yang ditemukan sebahagiannya mempunyai setem cukai palsu manakala sebahagian pula tiada setem cukai,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957 termasuk mengesan sumber bekalan rokok yang diseludup dan kaitan antara kedua-dua kes penyeludupan rokok berkenaan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

