Sorting by

×

MELAKA REKOD 25 KESALAHAN PENIAGA GAGAL PAMER TANDA HARGA MERAH JAMBU

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PENGKALAN BATU 17 Mac – Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah KPDN Melaka Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, sejak SHMMP Hari Raya Aidilfitri diadakan pada 14 Mac lalu, sebanyak 25 kes melibatkan kompaun berjumlah RM2,600 dikenakan terhadap peniaga kerana gagal mempamerkan tanda harga merah jambu.

Katanya, kegagalan mempamerkan tanda harga khas itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Penentuan harga maksimum ini dibuat bagi memastikan harga berpatutan demi manfaat pengguna dan peniaga selain membendung kenaikan harga yang tidak munasabah daripada peniaga yang tidak bertanggungjawab.

“Untuk Melaka sebanyak 23 barangan disenaraikan dibawah SHMMP Hari Raya Puasa 2026 dan pelaksanaan ini selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac depan.

“Peniaga yang didapati menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum berdepan denda sehingga RM100,000 atau boleh dipenjara,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran SHMMP Hari Raya Puasa 2026, di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Mohd Hazimin, peniaga juga diingatkan supaya menggunakan kertas berwarna merah jambu bagi tanda harga khas itu dan bukannya plastik berwarna merah yang dibalut pada kepingan kadbod.

“Langkah ini bertujuan memudahkan pengguna mengenal pasti barangan terkawal dan memastikan harga yang ditetapkan dipatuhi oleh peniaga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, 76 penguat kuasa telah digerakkan dalam pemantauan di semua rangkaian perniagaan seperti pasar, bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri sepanjang SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2026 yang berlangsung bermula 14 hingga 28 Mac.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

246
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI RAI PETUGAS PEMBERSIHAN SWM
Next post MAIM SERAH 100 KIT MESRA IBADAH KEPADA 3 HOSPITAL