
DRVM: MESIN PINTAR MBMB UBAH BAHAN BUANGAN JADI SUMBER PENDAPATAN
AYER KEROH 28 September – Bahan buangan yang selama ini dianggap tidak bernilai kini boleh ditukar kepada sumber pendapatan sampingan menerusi mesin pintar Dump Reverse Vending Machine (DRVM) yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Baru tiga hari beroperasi di Dataran Bandaraya MBMB, mesin berkenaan sudah dipenuhi pelbagai bahan kitar semula yang dihantar orang ramai, sekali gus menunjukkan sambutan awal terhadap kemudahan pintar yang menggabungkan amalan kelestarian alam sekitar dengan pulangan kepada pengguna.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif itu juga memudahkan aspek pengurusan sampah kerana barangan dihantar diasingkan mengikut jenis mesin yang disediakan.
Menurut Shadan , DRVM menerima beberapa kategori bahan kitar semula seperti kertas, plastik, kain, botol kaca, besi dan bahan buangan bersepadu (integrated waste).
“Kadar bayaran berbeza mengikut berat barangan, kertas dan plastik masing-masing bernilai RM0.30 satu kilogram (kg), kain dan botol kaca RM0.10 satu kg, besi RM0.40 satu kg, manakala bahan buangan bersepadu pula RM0.20 satu kg.
“Setiap item yang kita masukkan mempunyai nilai tersendiri. Jadi apabila kita buang mengikut kategori, ia bukan sahaja membantu menjaga alam sekitar tetapi boleh memberi pulangan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MBMB Bil. 9/2026 yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Maslina Baki; Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff dan Ketua Ahli Majlis MBMB Clr. Mustafa Mohamed Baboo.
Shadan berkata, pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi DUMP, mendaftar dan mengimbas kod QR pada DRVM sebelum memasukkan bahan kitar semula mengikut kategori yang ditetapkan.
“Sistem ini akan menimbang bahan secara automatik sebelum nilai transaksi direkodkan dalam aplikasi pengguna, selain menawarkan mata ganjaran.
“Tidak perlu tunggu hujung bulan, pada hari-hari biasa pun kalau ingin kitar semula barangan, boleh datang sahaja ke lokasi mesin ini,” katanya.
Katanya, lima DRVM ditempatkan di Dataran Bandaraya MBMB, Dewan Taman Paya Rumput Perdana, Parkland Residence, Watson I-Molek dan Family Store Klebang, manakala di TS Park, Taman Desa Bertam sedang dilaksanakan.
“Kemudahan ini melengkapi Program ‘Anda Kitar Kami Bayar’ (AKKB) yang dilaksanakan MBMB setiap bulan bagi menggalakkan masyarakat menjadikan kitar semula sebagai sebahagian daripada amalan harian,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

