
DEMI RAKYAT, IMRAN REDAH HUJAN BERBAJU RAYA JAGA PINTU AIR
BANDA HILIR 28 September – Sambutan Aidilfitri bersama keluarga terpaksa diketepikan apabila pesara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Imran Jeon, 60, perlu meredah hujan dengan berbaju raya bagi memastikan pintu air dikendalikannya berada dalam keadaan selamat.
Pengorbanan itu dilaluinya sepanjang 37 tahun berkhidmat, termasuk ketika hujan lebat dan pada waktu malam, demi memastikan kawasan kampung serta kebun penduduk tidak ditenggelami banjir akibat limpahan air.
Imran yang mula berkhidmat pada 5 Julai 1989 berkata, antara cabaran terbesar sepanjang bertugas ialah memastikan pintu air di Anjung Batu dan Pantai Siring dikendalikan dengan baik terutama ketika hujan lebat.
Katanya, tugas berkenaan menuntutnya sentiasa bersedia 24 jam tanpa mengira keadaan cuaca kerana kelewatan membuka atau menutup pintu air boleh menyebabkan kawasan penempatan serta kebun penduduk dinaiki air.
“Menjaga pintu air ini perlu bersedia 24 jam, tidak kira cuaca hujan atau tidak, siang atau malam. Kalau hujan lebat, kita tetap perlu turun ke lapangan walaupun waktu malam.
“Kalau terlewat atau tidak turun, ia boleh menyebabkan kawasan kampung dan kebun penduduk banjir akibat limpahan air. Ia diibaratkan seperti berumah di tepi pintu air,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu ditemui selepas Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel di Banda Hilir, di sini, pada Khamis.
Imran berkata, tuntutan tugas berkenaan turut menyebabkannya mengorbankan masa bersama keluarga termasuk ketika sambutan Aidilfitri.
“Ini sudah menjadi perkara biasa sepanjang bertugas. Meskipun ia kelihatan seperti kerja mudah, tanggungjawab yang perlu digalas amat berat,” katanya.
Imran yang bersara wajib pada 2 September lalu berkata, selepas 37 tahun berkhidmat, perasaan sedih tetap dirasai ketika meninggalkan tugas yang sudah sebati dengan kehidupannya.
“Pastinya sepanjang 37 tahun berkhidmat, sedih untuk saya lepaskan tugas ini kerana terlalu banyak kenangan dan pengalaman dilalui yang akan dijadikan ingatan,” katanya.
Dalam pada itu, Imran menyifatkan Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka sebagai tanda penghargaan terhadap penjawat awam yang telah mencurahkan khidmat kepada negeri.
“Majlis seperti ini amat baik kerana menjadi tanda ingatan dan membuatkan kami rasa dihargai walaupun sudah bersara.
“Terima kasih Kerajaan Negeri khususnya Ketua Menteri atas keprihatinan dan penghargaan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

