Sorting by

×

‘GENG HARRAZ’ AKTIF CURI KENDERAAN, PECAH RUMAH DI MELAKA TUMPAS

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 25 Mac – Polis Melaka berjaya menumpaskan kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Harraz’ yang aktif melakukan kecurian kenderaan, pecah rumah dan samun di sekitar daerah Melaka Tengah serta Jasin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata, kejayaan itu hasil operasi khas Bahagian D4 (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Melaka pada 19 Mac 2026 di Permatang Pasir, Alai.

Menurutnya, operasi berkenaan bermula susulan satu kes kecurian motosikal sebelum polis berjaya menyelesaikannya dalam tempoh kurang 24 jam, seterusnya membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan.

“Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 32 tahun, merupakan penganggur yang baru bebas pada Oktober 2025 dan mempunyai rekod jenayah lampau serius termasuk curi kenderaan, pecah rumah serta kes dadah.

“Hasil ujian saringan juga mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang media Op Lejang Melaka: Polis Tumpaskan ‘Geng Harraz’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu aktif sejak Januari 2026 dan dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 12 kes jenayah di sekitar Melaka Tengah dan Jasin.

“Antara kes yang dikenal pasti melibatkan tujuh kes curi motosikal, satu cubaan curi motosikal, satu kes curi van, satu kes samun dan curi kereta serta dua kes pecah rumah.

“Kumpulan ini dipercayai menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125ZR dan Honda EX5 dengan menggunakan ‘master key’ yang diubah suai sebelum meleraikan kenderaan berkenaan untuk dijual sebagai alat ganti.

“Dalam operasi sama, polis turut merampas enam motosikal pelbagai jenis, sebuah van jenis Nissan Vanette serta peralatan khas yang digunakan untuk mencuri kenderaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM50,000,” katanya.

Christopher berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (curi kenderaan), Seksyen 457 (pecah rumah), Seksyen 392 (samun) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek direman sehingga 26 Mac 2026 bagi membantu siasatan lanjut dan kita sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat sebagai pembeli atau rangkaian sokongan kumpulan ini.

“Kumpulan ini dipercayai ditubuhkan selepas ahlinya berkenalan ketika berada dalam penjara, sebelum kembali aktif melakukan jenayah sebaik dibebaskan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan mengambil langkah keselamatan tambahan termasuk menggunakan kunci tambahan serta tidak meninggalkan kenderaan di kawasan sunyi dalam tempoh lama.

“Polis Melaka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah. Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

504
Kongsi :
Previous post POLIS MELAKA DAPAT NAIK MELAKA RIVER CRUISE PERCUMA
Next post AIDILFITRI: ZON BEBAS KENDERAAN BERMULA 26 HINGGA 30 MAC