
MBMB UBAH KAWASAN BERMASALAH JADI PUSAT RIADAH
PENGKALAN BATU 12 Mei – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) merancang memperluaskan pembangunan kawasan rekreasi berkonsepkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di beberapa lokasi sudah dikenal pasti mempunyai isu sosial dan keselamatan.
Ia susulan kejayaan pembinaan Taman Permainan Kanak-Kanak SDG Park di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu yang mengubah kawasan berkenaan daripada lokasi bermasalah kepada pusat riadah komuniti lebih selamat dan mesra keluarga.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya kini sedang meneliti beberapa kawasan lain yang mempunyai isu hampir sama untuk dibangunkan semula menerusi pendekatan berteraskan SDG.
Menurutnya, kawasan SDG Park sebelum ini dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kerap dikaitkan dengan kegiatan jenayah serta aktiviti sosial tidak sihat, namun kini berjaya ditransformasikan menjadi kawasan rekreasi aktif dengan pelbagai kegiatan komuniti serta ekonomi setempat.
Katanya, perubahan itu selari dengan elemen SDG ke-16 yang menekankan aspek keamanan, keselamatan dan kemampanan bandar.
“Insya-Allah kita juga cuba tengok kawasan-kawasan lain yang mempunyai isu lebih kurang sama seperti ini untuk dibangunkan semula.
“Buat masa ini kawasan ini antara yang paling kritikal sebelum ini, jadi kita ubahkan daripada tempat bermasalah kepada kawasan yang selamat dan mesra komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Taman Permainan Kanak-Kanak SDG Park yang disempurnakan Exco Pembangunan Wanita dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin, di sini, pada Ahad.
Tambahnya, taman permainan yang siap dibina kira-kira tiga bulan lalu itu melibatkan kos sekitar RM427,000 menerusi peruntukan Jabatan Landskap Negara.
“Kawasan ini akan terus diceriakan termasuk pemasangan lampu dan kemudahan lain bagi memastikan ia sentiasa menjadi lokasi tumpuan penduduk setempat untuk beriadah bersama keluarga pada waktu siang dan malam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


