
BERMULA DARI JALANAN, DODOL KAMPUNG ABBEY KINI SEMAKIN DIKENALI
ASAHAN 15 April – Nostalgia menjaja dodol dari kampung ke kampung dengan menunggang motosikal tiga dekad lalu sentiasa segar dalam ingatan Hayati Keling yang kini mula menjadi sebutan di bibir peminat makanan tradisional itu.
Berbekalkan semangat dan tidak cepat berputus asas perniagaan kecil-kecilan itu kini semakin berkembang menjadi perusahaan Dodol Tradisi Ainatikah di Kampung Abbey yang dikenali ramai dalam kalangan termasuk pelanggan dari luar Melaka.
Menurutnya, sebelum memberi sepenuh tumpuan kepada perusahaan dodol, dia pernah bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam, selain menoreh getah dan berniaga makanan.
“Dulu kami buat dodol hanya pada musim perayaan sahaja. Guna cara manual, upah orang untuk mengacau, dua kawah dengan tiga orang,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Kampung Abbey, di sini, baru-baru ini.
Hayati berkata, suami Mohd Khairi Ishak, 54, dianggap sebagai ‘rakan kongsi’ yang banyak membantu dan memberikan dorongan kepada dirinya sepanjang berjuang untuk membina jenama sendiri.
“Mulanya memang saya tidak yakin, siapa mahu membeli dodol setiap hari, tetapi suami kata cuba dulu. Keputusan ini bukan mudah apabila kami berdepan pelbagai cabaran termasuk kegagalan menghasilkan dodol yang sempurna.
“Pernah dodol jadi keras dan terpaksa dibuang, ketika itu kami guna gula pasir. Sekarang kami guna gula Melaka untuk rasa yang lebih baik,” katanya.
Tidak mahu bergantung kepada pelanggan semata-mata, Hayati mengambil langkah berani menjual dodol secara bergerak dengan menunggang motosikal.
“Saya pergi dari rumah ke rumah, sampai ke Jasin, Gemas di Negeri Sembilan dan Segamat di Johor. Bawa bakul, bagi orang rasa dulu sebelum jual.
“Alhamdulillah usaha itu membuahkan hasil apabila dodol kami mula mendapat tempat dalam kalangan pelanggan pelbagai kaum, termasuk berjaya memasuki pasaran di stesen minyak dan restoran.
“Kini, produk kami dijual secara tetap di beberapa lokasi termasuk stesen minyak selain menerima tempahan dari Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Singapura,” katanya.
Menurut Hayati, keistimewaan dodolnya terletak pada penggunaan bahan tradisional serta kaedah memasak menggunakan kayu api selama kira-kira lapan jam.
“Rasa dodol ini seimbang, tidak terlalu manis. Jadi ramai yang tidak suka dodol pun akan jadi suka bila rasa.
“Sebab itu saya memilih untuk mengekalkan dodol asli tanpa perisa moden bagi menjaga keaslian rasa tradisi,” katanya.
Pada musim perayaan, Hayati mampu menghasilkan sehingga 14 kawah dodol dengan setiap kawah mencecah lebih 50 kilogram.
Walaupun kini menggunakan mesin, hayati tetap mengekalkan penggunaan kayu api bagi memastikan kualiti dan rasa tidak berubah.
Di sebalik kejayaan itu, Hayati mengakui pernah berdepan cabaran dalam mendapatkan bantuan perniagaan termasuk kekangan permohonan geran.
“Ini mata pencarian utama kami. Harapan saya mahu ada bengkel sendiri dan tambah mesin untuk tingkatkan pengeluaran.
“Lebih unik dodol kami turut dibungkus menggunakan daun mengkuang, yang bukan sahaja mengekalkan identiti warisan, malah menambah daya tarikan kepada pelanggan.
“Pembungkusan tradisional ini juga menjadikan dodol lebih istimewa, terutama sebagai buah tangan selain memberi pengalaman berbeza berbanding pembungkusan moden,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


