Sorting by

×

RUMAH PUSAKA LEBIH SEABAD KEMBALI ‘BERSERI’

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

GADEK 15 April – Hanya rasa syukur dapat dizahirkan Asenah Baba, 85, apabila rumah pusaka lebih seabad yang didiaminya kini kembali berseri selepas dibaik pulih dan dibersihkan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Inisiatif itu dilakukan menerusi Program Masyarakat Di Hati MPAG bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek.

Menerusi program itu, rumah didiami warga emas yang menghidap kanser hati dan tidak mampu berjalan itu kini lebih ‘bercahaya’ apabila mendapat pendawaian baharu, selain lampu-lampu dan kipas lama turut ditukar.

Anak kepada Asenah, Suzana Ali, 43, berkata, kegembiraan jelas terpancar di wajah ibunya apabila melihat teratak yang didiami bukan sahaja lebih bersih, selesa dan selamat.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat mencantikkan rumah pusaka keluarga kami, usianya sudah lebih 100 tahun dan sangat bernilai untuk kami.

“Rumah kayu inilah tempat kami lapan beradik membesar dan sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai anak bongsu yang duduk bersama ibu menjaga warisan (rumah) berharga yang menyimpan pelbagai kenangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, dia ditemui pada Program Masyarakat Di Hati Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sempena Program WRUR DUN Gadek yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam di kediamannya di Kampung Sri Tanjung, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

6264716328644054563
SUZANA ketika membantu menguruskan ibunya yang tidak lagi mampu berjalan akibat penyakit kanser hati. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Menurut Suzana, dia dan ibu amat bersyukur kerana bantuan itu jelas membuktikan keprihatinan kepimpinan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat memerlukan.

“Selain baik pulih rumah, kami turut menerima sumbangan kit makanan. Jujur saya katakan bahawa semua ini memerlukan kos yang tinggi, namun tuhan hadirkan insan-insan baik untuk membantu kami.

“Terima kasih kepada semua pihak khususnya wakil rakyat, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta MPAG kerana banyak membantu kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1099
Kongsi :
Previous post TELUR ASIN BUKIT SEDANAN BERSIH, BERKUALITI
Next post TUNAS ILHAM MAIM BANTU ANAK ASNAF LEBIH BERSEDIA DUDUKI UPKK 2026