
ALHAMDULILLAH REZEKI TUNAI HAJI BERSAMA ISTERI
TANJUNG BIDARA 16 April – Menunaikan fardu haji bersama suami atau isteri sememangnya menjadi impian buat semua pasangan Muslim dan dianggap sebagai rezeki paling bersar dikurniakan oleh Allah SWT.
Kegirangan dapat merasai peluang itu dikongsi Mohd Syafiq Marzuki, 38, apabila dia bersama isteri Nazirah Syahirah Johari, 38, terpilih sebagai tetamu Allah tahun ini dan dijadualkan berlepas ke tanah suci pada 5 Mei nanti.
“Saya tumpang rezeki isteri kerana panggilan daripada Tabung Haji (TH) adalah atas namanya, kemudian saya membuat rayuan untuk pergi bersama isteri sebagai mahram dan alhamdulillah diterima.
“Isnya-Allah peluang ini akan menjadi kenangan indah buat kami, semoga kami berdua mendapat haji yang mabrur,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Bakal Haji Dan Pesara Polis Dalam Parlimen Masjid Tanah yang diadakan di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, 12 April lalu.
Pada majlis itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz meraikan serta menyampaikan sedikit sumpangan kepada bakal haji dari lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah.

Kegembiraan turut dikongsi Mohd Rasydan Mohd Yusop, 52, apabila dia juga berpeluang menunaikan fardu haji bersama isteri Mufddah Mohamad, 53.
Mohd Rasydan dari Kampung Pulau, Masjid Tanah menyatakan rasa syukur apabila rayuan mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.
“Kalau mengikut giliran ditetapkan TH 10 tahun lagi baru kami berdua dapat ke tanah suci, alhamdulillah rezeki dipilih menjadi tetamu Allah kali ini.
“Persiapan alhamdulillah semuanya lancar, masa yang ada digunakan untuk mengulang kaji semula cara mengerjakan haji, insya-Allah semoga semuanya sempurna,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


