Sorting by

×

SURESH ‘BAPA’ SILAMBAM MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

ASAHAN 16 April – Kegigihan anak kelahiran Nyalas dalam memartabatkan seni bela diri silambam terbukti apabila beliau kini berjaya melatih dan melahirkan ramai atlet sukan tradisional itu menerusi penubuhan asrama silambam di Jalan Pondok Batang, di sini.

B. Suresh, 50, yang juga Pengerusi Persatuan Silambam Negeri Melaka berkata, penubuhan asrama itu sejak lapan tahun lalu adalah antara permulaan dalam usahanya mengungkil bakat lebih ramai atlet yang berpotensi khususnya anak Melaka.

Menurutnya, asrama yang dilengkapi pusat latihan itu mampu menempatkan seramai 36 orang dalam satu-satu masa selain merupakan yang pertama di Malaysia malah kini menjadi perintis untuk dibangunkan di lokasi lain.

“Sebelum adanya asrama, anak-anak atau peserta silambam ini akan bermalam di rumah saya dan untuk latihan, jadi dari situ kami mula mencari alternatif bagi pembangunan sukan silambam.

“Harapan kami hanya satu untuk melahirkan lebih ramai atlet silambam dari Melaka untuk diangkat ke peringkat tertinggi dan pada masa ini saya melatih lebih 300 pelajar yang aktif sukan silambam.

“Selain Majlis Sukan Negeri Melaka, asrama kami turut dipantau oleh Persatuan Silambam Antarabangsa yang mana pihak terbabit telah datang ke Pondok Batang dan membawa idea untuk dilaksanakan di India,” katanya.

Suresh yang juga Ketua Jurulatih Silambam Negeri Melaka berkata, meskipun berdepan cabaran besar dalam membangunkan sukan itu namun dia tidak cepat melatah kerana impiannya adalah untuk melihat pembangunan sukan tradisional itu terus berkembang.

“Kami bersyukur kerana mempunyai wakil rakyat yang amat komited dalam membantu pembangunan sukan silambam ini. Datuk Fairul Nizam Roslan selaku Adun Asahan antara individu yang banyak membantu termasuk dalam menyalurkan bantuan kewangan dan menyelesaikan beberapa isu infrastruktur malah beliau sendiri kerap turun padang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

368
Kongsi :
Previous post KAMPUNG JUS ‘SYURGA’ HAIWAN EKSOTIK
Next post ALHAMDULILLAH REZEKI TUNAI HAJI BERSAMA ISTERI