
KAMPUNG JUS ‘SYURGA’ HAIWAN EKSOTIK
ASAHAN 16 April – Ternakan eksotik di Kampung Jus kini mula mendapat perhatian sebagai antara aktiviti ekonomi berpotensi apabila haiwan seperti landak raya, napoh, pelanduk dan kijang mula diusahakan secara komersial untuk pasaran tempatan dan luar negeri.
Pengusaha Ladang Ansal Ternak AgroFarm Muhammad Rizal Anuar, 48, berkata dia mula mengusahakan ternakan eksotik sejak 2018 dengan fokus kepada spesies yang mempunyai permintaan tinggi seperti landak raya dan pelanduk.
Katanya, jualan landak hidup hanya dibenarkan dalam tempoh tertentu mengikut kelulusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) iaitu antara 1 Mei hingga 30 September setiap tahun, manakala jualan daging pula boleh dilakukan sepanjang tahun.
“Permintaan daging landak meningkat terutama selepas musim perayaan. Saya juga menerima tempahan dari seluruh Malaysia melalui media sosial dan penghantaran dibuat mengikut tempahan pelanggan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di ladangnya di Kampung Jus, di sini.

Selain landak raya, Muhammad Rizal memaklumkan ladang berkenaan turut membela pelanduk, rusa dan kijang dengan sistem penternakan berkurung bagi memastikan keselamatan serta kesesuaian habitat.
Menurutnya, haiwan-haiwan tersebut diberi makanan berasaskan buah-buahan, sayur-sayuran serta campuran bijirin dan soya bagi memastikan tumbesaran yang baik.
“Dari segi penjagaan, landak raya lebih mudah diternak berbanding beberapa spesies lain kerana tahan lasak dan mampu membiak sehingga dua kali setahun dengan bilangan anak antara satu hingga empat ekor.
“Bagaimanapun, terdapat cabaran terutama dari segi kos makanan yang semakin meningkat serta keperluan struktur kurungan yang sesuai bagi setiap spesies,” katanya.
Mengulas potensi industri itu, Muhammad Rizal berharap agar lebih banyak sokongan diberikan oleh agensi berkaitan khususnya Jabatan Perhilitan bagi memperluaskan lagi spesies ternakan eksotik yang boleh dikomersialkan secara sah dan terkawal.
“Saya berharap ternakan eksotik ini dapat diperluaskan dan menjadi salah satu sumber ekonomi baharu kepada penduduk kampung,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


