Sorting by

×

WRUR GADEK: LEBIH 40 ADUAN RAKYAT SUDAH ADA PENYELESAIAN SEGERA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

GADEK 16 April – Lebih 40 dari 160 aduan yang terkumpul menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek telah dikenal pasti penyelesaian segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam berkata, baki aduan tersebut akan diteliti sebelum berakhirnya WRUR DUN Gadek.

Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, ia secara tidak langsung menggambarkan keberkesanan inisiatif WRUR dalam menyelesaikan isu rakyat dalam tempoh singkat.

“Dalam 120 isu aduan yang kita sedang meneliti dan mencari jalan penyelesaian, kita akan duduk (bersama agensi berkaitan) dan lihat perkembangan terkini untuk mengatasi masalah berbangkit dan yang dibangkitkan oleh penduduk menerusi WRUR DUN Gadek ini.

“Saya yakin apabila berakhirnya program ini dalam DUN Gadek, kita dapat menyelesaikan hampir semua isu atau aduan rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Sembang Santai Hi-Tea Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pesara Polis yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena WRUR DUN Gadek di Kompleks Air Panas Gadek, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Turut hadir, Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

Pada majlis tersebut Ketua Menteri turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Veteran ATM dan Persara Polis Cawangan Gadek sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan golongan itu kepada negara.

Dalam pada itu, Shanmugam berkata kehadiran Ketua Menteri pada WRUR DUN Gadek itu memberi semangat kepada pesara polis dan veteran tentera yang hadir ke majlis santai itu.

“Pendekatan Ketua Menteri menerusi program turun padang ini dapat memperlihatkan bahawa Kerajaan Negeri di bawah pentadbirannya akan menyantuni semua golongan secara adil tanpa meminggirkan komuniti yang banyak berjasa kepada negara khususnya veteran askar dan pesara polis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

845
Kongsi :
Previous post YB ALONG RAIKAN ORANG REMBIA
Next post KAMPUNG JUS ‘SYURGA’ HAIWAN EKSOTIK